MENTERI bertanggungjawab dalam penganjuran program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang menarik ribuan pengunjung dan melanggar prosedur operasi standard perlu meletak jawatan, kata Lim Kit Siang hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana tanpa segan silu melanggar SOP Covid-19 pada majlis itu, tambah ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi.
Beliau turut mengecam kompaun RM1,000 dikeluarkan Kementerian Kesihatan kepada penganjur program atas kesalahan melanggar SOP, menyifatkan jumlah denda itu sebagai terlalu sedikit (chicken feed).
“Ia adalah kemuncak kebobrokan untukan mengenakan denda ‘chicken-feed’ sebanyak RM1,000 untuk pelanggaran besar-besaran SOP Covid-19 pada program 100 hari.
“Denda ‘chicken-feed’ ini menunjukkan tiada langsung keseriusan kerajaan Ismail Sabri untuk melawan pandemik Covid-19,” kata veteran DAP itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kejadian ini menjelaskan mengapa Malaysia masih bergelut untuk menurunkan kes harian Covid-19 ke bawah 4,000 kes dan mengurangkan kes kematian harian disebabkan wabak itu.
Program empat hari bermula 9 Disember itu diadakan untuk meraikan 100 hari pentadbiran kerajaan Ismail Sabri.
Ia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan menarik ribuan pengunjung.
Program itu diajurkan oleh Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) yang merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dirasmikan Ismail Sabri sendiri.
Selepas kompaun itu dikeluarkan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata majlis anjuran kerajaan sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik untuk rakyat.
“... (Program ini) dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat.
“Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” katanya. – 11 Disember, 2021.
Komen