Program sambutan 100 hari Putrajaya jadi magnet Covid, kata MMA


MMA dakwa tindakan Putrajaya anjur program Aspirasi Keluarga Malaysia sempena 100 hari kerajaannya bermula semalam, bakal melonjakkan kes jangkitan Covid-19. – Gambar Facebook, 10 Disember, 2021.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) mendakwa tindakan Putrajaya menganjurkan program Aspirasi Keluarga Malaysia sempena 100 hari kerajaannya, menarik kunjungan orang ramai pada hari pertama, semalam.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata program empat hari itu menjadi magnet kepada jangkitan Covid-19, dan mempertikaikan adakah kerajaan serius atau tidak untuk menurunkan jumlah kes di negara ini.

“Adakah menaikkan angka kes Covid-19 sebahagian daripada indikator pencapaian utama untuk 100 hari akan datang? Melihat kepada program 100 hari dilancarkan di KLCC semalam, dan berlarutan empat hari, ia nampaknya begitulah.

“Program itu mendapat sambutan hangat dan kunjungan ramai, walaupun kita sekarang sedang berdepan varian Delta dan Omicron,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata nampak seperti ada sesetengah pihak dalam kerajaan yang mahu virus Covid-19 terus ada di negara ini.

Keadaan ini berlaku walaupun ketika semua orang sedang menunggu mendapatkan dos suntikan penggalak bagi membanteras wabak, katanya.

Koh berkata adalah salah untuk kerajaan mengadakan program meraikan 100 hari memegang kuasa ketika pada masa sama ia memberitahu rakyat, mereka tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan atau perkumpulan.

Semalam, Menteri Sumber Manusia M Saravanan turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang longgar pada sambutan Aspirasi Keluarga Malaysia, dan mempertikaikan kenapa perarakan Thaipusam tidak dibenarkan diadakan. – 10 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen