KERAJAAN negeri Sarawak melarang kemasukan wakil rakyat PKR, Wong Chen ke negeri itu pada hujung minggu ini.
Wong yang juga ahli Parlimen Subang sebelum itu membawa tiket penerbangannya kelas ekonomi dan menunggu 36 jam untuk mendapatkan permit masuk.
“Saya sepatutnya sudah berada di dalam pesawat sekarang ke Kuching, tetapi pas masuk saya ke Sarawak ditolak malam tadi.
“Pada pagi Rabu, saya beli tiket MAS untuk ke Kuching bagi penerbangan hari ini dan pulang pada Ahad, kerana saya perlu berada di Parlimen pada Isnin.
“Tiket kelas ekonomi ini berharga RM1,200,” katanya di media sosial.
Beliau berkata memohon permit masuk menerusi aplikasi Enter Sarawak sebaik saja selepas membeli tiket itu.
“Anda perlu tunjuk bukti tiket pesawat berbayar sebelum dapat memohon permit masuk.
“Selepas tunggu 36 jam, akhirnya 9 malam semalam, pihak berkuasa Sarawak menolak permohonan saya untuk ke negeri itu,” katanya.
Wong berkata pegawanya terpaksa membatalkan tiket dan membuat tempahan semula bagi tarikh penerbangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, dan ia membabitkan kos tambahan.
“Hampir semua pilihan terpaksa membayar kos tambahan RM580, sedangkan tiket sudah sedia mahal saya bayar RM1,200.”
Beliau berkata pegawainya kemudian berjaya mendapatkan tiket penerbangan baharu, untuk tarikh tengah minggu pada Januari 2022 ke Kuching.
“Hanya di Malaysia,” katanya.
Wong dijangka bukan satu-satunya ahli politik Semenanjung yang dilarang masuk Sarawak sepanjang tempoh kempen PRN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi SOP PRN Sarawak melarang perjalanan rentas negeri bagi pekerja kempen dan pemimpin parti.
Keadaan ini akan menjejaskan DAP, PKR, Amanah dan PAS.
Pengecualian diberikan jika lima pemimpin tertinggi parti berkenaan bertanding pada PRN ini, mereka dibenarkan masuk ke Sarawak untuk berkempen.
Parti juga diminta mendaftarkan nama lima pemimpin berkenaan dengan jawatankuasa pengurusan bencana Sarawak.
PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember ini. – 10 Disember, 2021.
Komen