AS lulus dos penggalak Pfizer bagi remaja 16-17 tahun


FDA semalam meluluskan penggunaan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun. – Gambar EPA, 10 Disember, 2021.

PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan penggunaan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun, susulan kebimbangan terhadap penularan varian Omicron.

Kelulusan tersebut diberi sehari selepas Pfizer mengeluarkan keputusan ujian makmal yang menunjukkan tiga dos vaksin Covid-19 mampu memberi perlindungan yang lebih baik  terhadap varian Omicron yang mula dikesan di Afrika Selatan.

FDA dalam kenyataan semalam berkata kelulusan itu disokong dengan data berkenaan tindak balas imun yang dikumpul sebelum ini hasil ujian ke atas individu berusia 18 tahun ke atas, yang kemudian disimpulkan boleh diperluas kepada remaja 16 dan 17 tahun.

Setakat ini FDA hanya memperuntukkan kebenaran kegunaan kecemasan (EUA) bagi dos penggalak diberi enam bulan selepas suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

“Vaksinasi dan suntikan dos penggalak, diikuti langkah pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, aliran udara yang baik dan mengelak berkumpul beramai-ramai masih kekal paling berkesan untuk mengekang Covid-19.

“Data awal menunjukkan dos penggalak mampu meningkatkan perlindungan terhadap Omicron dan varian lain.

“Saya amat menggalakkan remaja berusi 16 dan 17 tahun mengambil dos penggalak jika mereka sudah lengkap dua dos vaksin Pfizer sekurang-kurangnya enam bulan, ” kata  pemangku pesuruhjaya FDA Janet Woodcock dalam kenyataan. – AFP, 10 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen