RUSIA akan menghantar pakar virus ke Afrika Selatan untuk membangunkan makmal Covid-19 susulan kemunculan varian Omicron, kata presidennya Vladimir Putin.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Putin kepada rakan sejawatannya dari Afrika Selatan Cyril Ramaphosa menerusi panggilan telefon, kata Kremlin dalam satu kenyataan semalam.
“Sekumpulan pakar virologi, ahli epidemiologi, penyelidik dan doktor Rusia berserta peralatan makmal akan dihantar ke Afrika Selatan tidak lama lagi,” katanya.
Varian Omicron pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November lalu. WHO mengisytiharkan Omicron sebagai varian Covid-19 paling membimbangkan bersama-sama Delta, Alpha, Beta dan Gamma.
Isnin lalu Rusia melaporkan dua kes pertama varian Omicron membabitkan warganegaranya yang pulang dari Afrika Selatan. – AFP, 10 Disember, 2021.
Komen