Keuntungan bersih suku ketiga Astro turun kepada RM105.92 juta


Pengerusi Astro Zaki Azmi mengulas bahawa keputusan suku ketiga Astro kekal kukuh meskipun pelaksanaan sekatan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

KEUNTUNGAN bersih Astro Malaysia Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober, 2021, turun kepada RM105.92 juta daripada RM164.53 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil susut kepada RM1.02 bilion daripada RM1.11 bilion sebelumnya.

Syarikat itu berkata hasilnya terus menerima impak daripada pandemik Covid-19 yang menyaksikan penurunan 7.6 peratus daripada suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan terutamanya penurunan langganan, hasil pengiklanan dan jualan barangan dagangan tetapi diimbangi oleh peningkatan jualan hak program.  

“Keuntungan bersih turun sebanyak RM61.1 juta atau 36.8 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan terutamanya penurunan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan  (EBITDA), diimbangi oleh kos pembiayaan bersih, perbelanjaan cukai dan pelunasan perisian yang rendah,” kata Astro dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai keputusan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Henry Tan berkata perbelanjaan pengiklanan (Adex) turun lima peratus suku ke suku berikutan sekatan pergerakan tetapi meningkat sebanyak dua peratus tahun ke tahun bagi tempoh sembilan bulan pertama.

Menurutnya, Adex Radio, Adex TV dan Adex Digital masing-masing berada pada 76 peratus, 35 peratus dan dua peratus.

“Bagaimanapun, dengan pembukaan semula ekonomi segmen Adex dan Perusahaan mula mencatatkan pemulihan pada Oktober.

Mengenai prospek masa depan, Tan berkata permeteraian perjanjian akses dan borong dengan Telekom Malaysia baru-baru ini menyediakan asas bagi Astro untuk menjadi penyedia perkhidmatan Internet yang seterusnya mengukuhkan perkadaran penggabungan produk dan nilai yang dapat ia salurkan kepada pelanggan. 

Sementara itu, Pengerusinya Zaki Azmi mengulas bahawa keputusan suku ketiga Astro kekal kukuh meskipun pelaksanaan sekatan pergerakan.

“Syarikat terus menjana tunai, melakukan disiplin kos dan proaktif dalam pengurusan modalnya. Lembaga mengisytiharkan dividen interim ketiga 1.5 sen sesaham,” katanya. – Bernama, 9 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen