231,533 orang terima dos penggalak hingga 20 November di Selangor


Seramai 231,533 orang sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hingga 20 November lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini diberitahu jumlah penerima dos penggalak vaksin Covid-19 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hingga 20 November lepas adalah seramai 231,533 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata buat masa ini belum ada data lengkap mengenai jumlah penerima dos ketiga menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) Booster iaitu pemberian sebanyak 157,000 dos penggalak secara percuma, yang dilancarkan semalam.

Beliau berkata dos penggalak diberikan susulan kelulusan penggunaan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 17 November lepas.

“Maklumat lanjut mengenai Program SelVax Booster di DUN akan diumum dalam masa terdekat selepas  kerajaan negeri memperincikan prosedur operasi standard,” katanya menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) yang ingin tahu mengenai vaksin COVID-19 pada persidangan DUN Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata sejak 2010 hingga kini, Program Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL) telah memberi manfaat kepada 53,364 orang penerima rawatan yang terdiri daripada 29,225 kaum Melayu, 17,616 (Cina), 6,360 (India) dan 163 (lain-lain).

Menjawab soalan Rozana Zainal Abidin (PH-Permatang) yang bertanyakan mengenai program MammoSEL, beliau berkata berdasarkan kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), golongan paling berisiko mendapat kanser payudara adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas manakala golongan berumur 35 hingga 50 tahun adalah mereka yang kurang berisiko.

“Golongan kurang berisiko ini pada kebiasaannya hanya akan mendapatkan pemeriksaan secara imbasan asas sahaja. Daripada dapatan kajian tersebut dan agar program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang terkesan, maka penambahbaikan syarat kelayakan iaitu dengan menaikkan tahap umur dari 35 tahun ke 50 telah dipersetujui kerajaan negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Selain daripada itu, kaedah pemeriksaan juga telah ditambah baik dengan menyediakan pemeriksaan biopsi yang ditanggung oleh kerajaan negeri bernilai hingga RM2,500 seorang,” katanya. – Bernama, 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen