REPUBLIK komunis China memberi amaran Barat perlu “bayar harga” jika boikot diplomatik Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
Awal minggu ini Washington umum untuk boikot, berkata ia berikutan pencabulan hak oleh China dan apa yang dilihatnya sebagai “pembunuhan beramai-ramai” terhadap minoriti Muslim Uyghur di Xinjiang.
Australia, Britain dan Kanada menyertai boikot itu pada Rabu.
Pemboikotan itu menimbulkan kemarahan Beijing yang memberi ganmbaran untuk bertindak balas pada Khamis.
“Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Kanada menggunakan platform Olimpik untuk manipulasi politik adalah tidak popular dan mengasingkan diri, dan mereka pasti perlu bayar harga untuk kesalahan mereka,” kata jurucakap kementerian luar Wang Wenbin kepada pemberita.
Kumpulan advokasi telah menyokong boikot itu, dengan pengarah Human Rights Watch China Sophie Richardson menyifatkan ia sebagai “langkah penting ke arah mencabar jenayah China terhadap kemanusiaan yang menyasarkan Uyghur dan komuniti Turki yang lain.”
Mereka berkata sekurang-kurangnya satu juta Uyghur dan lain-lain penutur bahasa Turki, kebanyakannya minoriti Islam telah dipenjarakan di “kem pendidikan semula” di Xinjiang, di mana China juga dituduh mensteril wanita secara paksa dan mengenakan kerja paksa.
Beijing mempertahankan kem tersebut sebagai pusat latihan vokasional yang bertujuan untuk mengendurkan ekstremisme Islam.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach berkata pada Rabu beliau kekal berkecuali dari segi politik dalam perkara itu, menegaskan perkara penting tetap penyertaan atlet dalam Sukan Olimpik. – AFP, 9 Disember, 2021.
Komen