PERANCIS tidak akan menyertai negara Barat memboikot Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing akan datang, kata Menteri Pendidikan dan Sukan Jean-Michel Blanquer pada Khamis.
Ditanya mengenai boikot yang diumumkan oleh Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Kanada, Blanquer memberitahu radio RMC dan televisyen BFM yang Perancis “tidak akan buat.”
“Kita perlu berhati-hati tentang hubungan antara sukan dan politik,” kata Blanquer semasa temu bual.
“Sukan adalah dunia yang berbeza yang perlu dilindungi daripada campur tangan politik. Jika tidak, keadaan boleh menjadi tidak terkawal dan ia boleh membunuh semangat kesukanan.”
Bagaimanapun beliau berkata Perancis akan terus mengutuk pencabulan hak asasi manusia di China.
Tambahnya beliau tidak akan ke ibu negara China itu tetapi menteri sukan muda Roxana Maracineanu akan mewakili kerajaan Perancis.
Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian berkata beliau masih mencari pendirian bersama Kesatuan Eropah mengenai isu itu apabila ditanya mengenai kemungkinan boikot semasa sidang media.
“Apabila bercakap mengenai isu boikot diplomatik, persoalan ini akan ditangani di peringkat Eropah,” katanya kepada wartawan.
China memberi amaran kepada Barat pada Khamis yang mereka akan “bayar harga” untuk boikot diplomatik. – AFP, 9 Disember, 2021.
Komen