China lulus kegunaan kecemasan ubat Covid pertamanya


Melalui ujian klinikal ubat Covid-19 tersebut, Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan China mendapati ia dapat kurangkan kemasukan ke hospital serta kematian dengan ketara dalam kalangan pesakit berisiko tinggi. – Gambar EPA, 9 Disember, 2021.

PIHAK berkuasa ubat-ubatan republik komunis China telah meluluskan penggunaan kecemasan untuk rawatan khusus pertama negara itu terhadap Covid-19.

Melalui ujian klinikal ubat Covid-19 tersebut, pihak berkuasa mendapati ia dapat kurangkan kemasukan ke hospital serta kematian dengan ketara dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

Langkah itu dibuat ketika pengawal selia di seluruh dunia memberi lampu hijau kepada rawatan tersebut, khususnya untuk kumpulan berisiko tinggi, di tengah-tengah kebimbangan mengenai varian Omicron.

China juga sedang bergelut dengan semakin banyak kajian yang menunjukkan vaksinnya mempunyai kadar keberkesanan yang lebih rendah berbanding vaksin keluaran negara lain.

Dalam notis rasmi yang diterbitkan pada Rabu, Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan China berkata ia telah memberikan “kelulusan penggunaan kecemasan” untuk rawatan antibodi monoklonal.

Antibodi monoklonal merupakan sejenis protein yang melekat pada protein spike coronavirus, mengurangkan keupayaannya untuk memasuki sel-sel badan.

Rawatan itu melibatkan gabungan dua ubat, diberikan melalui suntikan, dan boleh digunakan untuk merawat kes tertentu yang berisiko bertambah teruk, kata pihak berkuasa dadah.

Ia dibangunkan bersama oleh Universiti Tsinghua, Hospital Rakyat Ketiga Shenzhen dan Brii Biosciences.

Data percubaan menunjukkan terapi gabungan itu boleh mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian dalam pesakit berisiko tinggi sekitar 80 peratus, kata Universiti Tsinghua dalam satu kenyataan di media sosial pada Rabu.

Laporan media kerajaan bulan lalu memaklumkan rawatan tersebut juga telah digunakan ke atas pesakit yang dijangkiti kuman tempatan.

China negara terbaharu meluluskan rawatan Covid-19 yang serupa, dengan pengawal selia British minggu lalu turut membenarkan rawatan antibodi.

Pihak berkuasa kesihatan Kesatuan Eropah (EU) juga telah meluluskan pil untuk kegunaan kecemasan yang melibatkan ubat antivirus bagi melambatkan penyakit dengan mengurangkan kapasiti virus membiak dalam badan.

Walaupun pil lebih mudah digunakan, rawatan paling berkesan untuk Covid pada masa ini melibatkan antibodi monoklonal, yang diberikan melalui titisan.

China juga mempunyai beberapa vaksin yang diluluskan secara bersyarat, namun kadar keberkesanannya dilapporkan jauh ketinggalan berbanding vaksin keluaran negara lain.

Kajian Universiti Cina Hong Kong yang diterbitkan bulan lalu mendapati orang yang disuntik dengan vaksin BioNTech mempunyai paras antibodi yang jauh lebih tinggi berbanding Sinovac China. – AFP, 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen