SERAMAI 1,118 individu positif Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam, naik sedikit berbanding 1,036 orang pada Selasa, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Data KKM menerusi laman web CovidNow menunjukkan kadar penggunaan katil hospital di seluruh negara semalam sebanyak 81.1%, dengan 36% merupakan pesakit Covid-19.
Tahap serius jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital, manakala kapasiti hospital merangkumi penggunaan katil, bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan.
Lembah Klang merekodkan jumlah kemasukan pesakit tertinggi semalam iaitu 297 kes, dengan 246 di Selangor, Kuala Lumpur (31) dan Putrajaya (20).
Di negeri-negeri lain, 216 kes dilaporkan di Johor, Kedah (40), Kelantan (77), Melaka (13), Negeri Sembilan (70), Pahang (47), Perak (60), Perlis (15), Pulau Pinang (37), Sabah (127), Sarawak (46), Terengganu (71) dan Labuan (2).
Kadar penggunaan katil hospital di Terengganu paling tinggi iaitu sebanyak 85.6%, manakala penggunaan katil ICU 49.2% dan alat bantuan pernafasan 43.4%.
Sementara itu, seramai 49,644 individu positif Covid-19 menjalani kuarantin di rumah, 5,996 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 4,810 dimasukkan ke hospital.
Setakat tengah hari semalam, sebanyak 5,020 kes Covid-19 dilaporkan. Selangor mencatat kes harian tertinggi iaitu 1,465. – 9 Disember, 2021.

Komen