PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson pada Rabu mengumumkan sekatan virus lebih ketat di England ketika kes varian Omicron semakin meningkat, termasuk saranan bekerja dari rumah dan pasport wajib Covid-19.
Johnson berkata semasa taklimat yang kes Omicron meningkat dua kali ganda setiap dua hingga tiga hari, berisiko membawa kepada peningkatan besar kemasukan ke hospital.
UK mempunyai lebih 10 juta kes yang disahkan dan hampir 146,000 orang meninggal dunia akibat virus itu, salah satu angka tertinggi di Eropah.
Setiausaha Kesihatan Sajid Javid berkata pada Rabu terdapat 568 kes varian Omicron yang baharu dikesan, tetapi angka sebenar “mungkin lebih hampir kepada 10,000”.
Johnson berkata semakin jelas yang Omicron “berkembang jauh lebih pantas berbanding varian Delta yang dominan sebelum ini dan “kita masih belum boleh menganggap Omicron kurang teruk berbanding varian sebelumnya”.
“Kita perlu bertindak balas hari ini dengan cara yang ada,” katanya, sambil menegaskan langkah baharu itu tidak termasuk perintah berkurung dan orang ramai boleh meneruskan sambutan Krismas dan acara kanak-kanak seperti permainan Nativity selagi ia dilakukan dengan berhati-hati.
Sebagai sebahagian daripada langkah baharu, kerajaan memperkenalkan semula saranan bekerja di rumah di England.
“Mulai Isnin, anda perlu bekerja dari rumah jika boleh - pergi bekerja jika perlu,” kata perdana menteri.
Beliau menambah kerajaan dalam masa seminggu akan mewajibkan pasport vaksin Covid-19 di England buat kali pertama, manakala pentadbiran Scotland dan Wales sudah melaksana langkah yang sama.
Pas diperlukan untuk masuk ke kelab malam dan tempat di mana orang ramai berkumpul, kata Johnson yang bermaksud tempat tertutup melibatkan lebih 500 orang berkumpul tanpa duduk.
Beliau juga berkata pas akan diperlukan untuk mana-mana tempat yang mempunyai lebih 10,000 orang hadir, seperti stadium sukan. Empat perlawanan bola sepak Liga Perdana akan berlangsung Rabu depan.
Orang ramai perlu menunjukkan sijil sudah menerima dua dos vaksin atau negatif ujian virus.
Kerajaan juga menjadikan keperluan undang-undang untuk memakai pelitup muka di kebanyakan tempat tertutup awam, termasuk teater dan pawagam, kata Johnson.
Pemakaian pelitup muka sudah diwajibkan di bawah undang-undang England dalam pengangkutan awam dan kedai.
Perdana menteri menegaskan kepentingan orang ramai mengambil vaksin dan dos penggalak kini ditawarkan. Setakat ini lebih hampir 21 juta orang sudah menerima penggalak di UK.
“Perkara terbesar yang setiap seorang daripada kita boleh lakukan adalah mendapatkan suntikan dan paling penting dos penggalak sebaik sahaja tiba giliran kita,” katanya.– AFP, 9 Disember, 2021.
Komen