2 pemuda salah guna parkir OKU diminta mohon maaf, kata Ras Adiba


Presiden OKU Sentral Senator Ras Adiba Radzi berkata tindakan mereka yang berpura-pura menjadi OKU dan menceroboh kemudahan dikhaskan itu, telah mempersendakan golongan istimewa terbabit. – Gambar Facebook, 8 Disember, 2021.

DUA pemuda yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas bagi golongan orang kurang upaya (OKU) di sebuah pusat beli-belah diminta membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU.

Presiden OKU Sentral Senator Ras Adiba Radzi berkata tindakan mereka yang berpura-pura menjadi OKU dan menceroboh kemudahan dikhaskan itu, telah mempersendakan golongan istimewa terbabit. 

“Kalian semua mempersenda dengan mempergunakan parkir OKU dan berlakon diri anda sebagai seorang OKU.

“Sudahlah (keadaan) kami susah, orang semua selalu memandang rendah terhadap kami, orang semua menggunakan kemudahan yang disediakan dan dikhaskan untuk kami.

“Kita semua akan menjadi OKU suatu hari nanti. Jangan sesekali kalian mempermain dan mempersendakan kami. Sila pohon maaf kepada komuniti OKU,” katanya dalam video di Facebook beliau hari ini.

Dalam hantaran itu, Ras Adiba turut memaparkan video mengenai dua pemuda terbabit yang berkongsi cara mendapatkan parkir di pusat beli-belah dengan berpura-pura menjadi OKU.

Video tersebut turut menunjukkan aksi seorang daripada mereka berlakon sebagai OKU dengan berjalan dalam keadaan tidak sempurna. – Bernama, 8 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen