RAKYAT Malaysia perlu membayar lebih untuk perubatan tradisional Cina dan bayaran rundingan mulai 1 Januari kerana kekurangan bekalan, bayaran pengangkutan dan ringgit yang lemah mendorong harga naik, kata pengamal perubatan.
Mereka berkata disebabkan harga ubat-ubatan meningkat mereka juga terpaksa mengubah yuran rundingan.
Ini berlaku berikutan kenaikan harga baru-baru ini yang melibatkan barangan makanan penting seperti sayur-sayuran yang meningkat sebanyak 200%.
Peruncit juga memberi amaran kepada rakyat Malaysia untuk bersiap sedia dengan kenaikan harga barangan pengguna sehingga 30% berikutan masalah rantaian bekalan.
Presiden Persekutuan Persatuan Pakar Perubatan dan Pakar Akupuntur China Malaysia (FCPAAM) Ng Po Kok berkata kekurangan bekalan menyebabkan harga meningkat.
“Selepas Januari, pengamal perubatan Cina dijangka menyelaraskan bayaran mereka mengikut harga bahan.
“Buat masa ini ada yang masih berbaki dengan stok yang mereka beli sebelum ini, tetapi ini akan kehabisan pada akhir bulan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ng menjangkakan bayaran akan naik 10% hingga 30%.
“Ubat-ubat yang kita gunakan perlu diimport, jadi tiada cara untuk kita mengawal harga.
“Malah harga sudah pun naik, cuma tidak begitu ketara.
“Tetapi jika harga terus meningkat, kami tidak lagi dapat menanggung kos kerana kami sudah beroperasi dalam kerugian. Kami terpaksa menyesuaikan diri mengikut pasaran,” katanya.
Apabila harga dinaikkan, pengamal dijangka merawat kurang pesakit terutama mereka yang datang dari latar belakang kewangan yang lemah.
Presiden Persatuan Perubatan Cina Malaysia Yong Wee Seong berkata pengamal perubatan perlahan-lahan menyelaraskan yuran mereka.
“Harga ubat dan perundingan semuanya naik. Sebelum ini kos dulu naik hanyar 5%, kini naik antara 15% hingga 20%.
“Kami tidak mahu mengenakan bayaran sebanyak ini tetapi kami terpaksa berbuat demikian kerana keadaan semasa. Kami juga mempunyai banyak perbelanjaan lain yang perlu ditanggung,” katanya.
Walaupun dia memahami semua orang berdepan kesukaran, pengamal perubatan akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan harga serendah mungkin selepas kumpulan baharu ubat tiba.
“Ada yang menyelaraskan bayaran mereka secara beransur-ansur tetapi kebanyakannya akan melakukannya selepas 1 Januari dan ada yang mungkin menangguhkannya lebih lama.
“Pengamal perubatan tidak berani menyerahkan keseluruhan kos kepada pesakit. Paling banyak hanya 10%, sementara mereka menanggung selebihnya. Ini penting untuk mengekalkan hubungan yang kami ada dengan pesakit,” katanya.
Presiden Persatuan Peniaga Perubatan Pakar Perubatan Cina Malaysia Boon Yip Heng berkata persatuan itu tidak membincangkan kenaikan bayaran kerana sukar untuk membuat keputusan sebulat suara.
Presiden Persatuan Pengedar Ubat Cina Loh Kim Fong berkata terdapat kekurangan bekalan ubat sebanyak 30% hingga 50% pada bulan lepas.
“Apabila kekurangan bekalan, harga akan mulai naik. Ini akan berlaku sekitar tiga hingga lima bulan. Tetapi jika masalah kekurangan berterusan, harga akan terus melonjak,” katanya.
Loh berkata semasa wabak, Rebusan Qingfei Paidu menjadi popular tetapi kekurangan bekalan menyebabkan harganya naik sebanyak 20% hingga 30%.
Dewan perubatan juga berhati-hati menyimpan terlalu banyak stok semasa wabak, tambahnya.
“Jika mereka masih mempunyai stok lama, mereka tidak akan menaikkan harga. Mereka hanya akan menyelaraskan harga sebaik sahaja menerima stok baharu,” katanya.
Dengan wabak yang masih berterusan Loh berkata permintaan terhadap ubat tradisional akan terus meningkat dan begitu juga harga. – 9 Disember, 2021.
Komen