SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat kebenaran perintah reman lima hari lagi terhadap ketua polis daerah Melaka Tengah dan Jasin bagi membantu siasatan berhubung peranan mereka dalam memberi perlindungan kepada perniagaan haram di Melaka.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan perintah reman dilanjutkan terhadap dua ketua polis daerah itu dan tujuh suspek lain yang reman mereka tamat hari ini dan Rabu.
Ketua polis Melaka Tengah berusia 54 tahun dan ketua polis Jasin berusia 46 tahun bersama tujuh yang lain yang remannya tamat hari ini dibawa ke mahkamah jam 9.23 pagi tadi.
Mereka ditahan di Melaka pada Selasa dan awal pagi Rabu kerana didakwa terbabit menyediakan perlindungan kepada pusat judi dan rumah urut haram di negeri itu.
Perintah reman dua lagi yang ditahan beberapa hari selepas itu akan berakhir pada Rabu.
SPRM juga memohon lanjutan reman dua suspek terbabit bagi membantu siasatan.
Salah seorang daripada dua suspek itu ialah anggota berpangkat koperal bertugas di ibu pejabat polis kontinjen Melaka.
SPRM merampas RM800,000 dari bilik stor rumah koperal terbabit.
Wang tunai itu sebahagian daripada RM1.44 juta yang dirampas dari rumah dan akaun bank semua suspek. – 22 Mei, 2017.
Komen