BEKAS peguam besar Sarawak Fong Joo Chung akan mengetuai pasukan petugas khas untuk meneliti dakwaan yang dibuat oleh bekas peguam negara Tommy Thomas dalam biografinya, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata polis juga akan menyiasat perkara tersebut.
Dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” termasuk penyalahgunaan kuasa dalam melantik hakim, dakwaan campur tangan badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan tuntutan pendakwaan terpilih.
“Dalam hal ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara akan bertindak sebagai urus setia bagi jawatan kuasa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan itu.
Wan Junaidi berkata terdapat beberapa lagi pegawai khas lain antaranya bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Hashim Paijan; bekas ketua setiausaha kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Junaidah Kamaruddin, bekas hakim dan Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara Jagjit Singh.
“Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan dapatan dan syornya kepada mesyuarat jemaah Kabinet dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelantikan sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober,” katanya.
Thomas menerbitkan bukunya awal tahun ini yang mengundang kritikan kerana pendedahan besarnya mengenai gerakan di sebalik tabir dalam sistem kehakiman.
Antara isu yang dibincangkan dalam buku itu ialah kes 1Malaysia Development Bhd dan pendakwaannya, serta masalah yang dihadapi Thomas dalam Jabatan Peguam Negara dan pelantikan kontroversinya sebagai peguam negara bukan Melayu.
Thomas turut menyentuh proses pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, kecekapan pegawai pendakwaan mengendalikan kes itu, pembunuhan jurubahasa Mongolia Altantuya Shaariibuu yang membabitkan Najib, dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. – 8 Disember, 2021.
Komen