Omicron tersebar ke 50 negara, 19 negeri AS, kata ketua CDC


Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS Rochelle Walensky berkata pihaknya sedang berusaha memahami kesan Omicron dan cara ia bertindak balas. – Gambar EPA, 8 Disember, 2021.

VARIAN Covid-19 baharu, Omicron, telah merebak ke 50 negara dan 19 negeri di Amerika Syarikat (AS), kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Rochelle Walensky pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

“Ketika kita masih berusaha untuk memahami kesan varian Omicron serta cara ia bertindak balas terhadap terapeutik dan vaksin, kami menjangkakan sekurang-kurangnya semua atau sebahagian langkah-langkah yang sama, dapat memberikan sedikit perlindungan terhadap Omicron,” kata Walensky semasa sidang media Rumah Putih.

Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional Anthony Fauci berkata pakar kesihatan akan memperoleh beberapa data mengenai Omicron pada pertengahan minggu depan.

“Kami akan dapat menentukan sama ada antibodi yang dihasilkan oleh semua vaksin semasa tidak berkesan terhadap Omicron,” kata Fauci.

“Selain itu, kajian terhadap haiwan turut dilakukan untuk menilai perlindungan imun serta keberkesanan antiviral.” – Bernama, 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen