MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes projek solar hibrid melibatkan Rosmah Mansor selepas status MySejahtera beliau menunjukkan “kontak rapat” dengan individu positif Covid-19.
Ketua peguam Rosmah, Jagjit Singh berkata anak guamnya hadir di mahkamah hari ini tetapi tidak dapat memasuki premis kerana status yang tertera di MySejahtera.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada ia kontak rapat atau kasual.
“Beliau sudah sampai di sini (di mahkamah) tetapi memandangkan tidak dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah, kami menyuruhnya duduk di dalam kereta.
“Status MySejahtera beliau menunjukkan tahap kedua, yang saya percaya ia berstatus jingga kerana menjadi kontak rapat dengan suaminya, Najib Razak, yang mempunyai status MySejahtera berwarna merah,” kata Jagjit kepada mahkamah hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zaini Mazlan segera menyoal jika Najib disahkan positif Covid-19 dan dijawab tidak pasti oleh Jagjit.
“Saya tidak kata beliau (Najib) positif,” kedengaran Jagjit menjawab Zaini.
Zaini kemudian menjelaskan mahkamah tidak akan membenarkan sesiapa yang mempunyai status MySejahtera kontak rapat atau kasual.
Tambahnya, hanya mereka yang berstatus biru (berisiko rendah, tiada Simptom) dibenarkan memasuki premis mahkamah.
“Walaupun saya mendesak beliau masuk ke dalam premis, pihak keselamatan di tingkat bawah tidak akan membenarkannya masuk,” kata Zaini.
Zaini berkata beliau tiada pilihan selain menangguhkan perbicaraan hari ini kerana keadaan Rosmah dan turut menangguhkan perbicaraan esok kerana ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram tidak dapat hadir.
Zaini kemudian mengarahkan pihak pembelaan menyemak dan mengemaskini status MySejahtera Rosmah dan perbicaraan akan diteruskan pada Jumaat.
Sri Ram akan meneruskan soal balasnya pada Jumaat.
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, 69 tahun, menghadapi tiga pertuduhan rasuah, salah satunya kerana meminta RM187.5 juta sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak RM1.25 bilion untuk melengkapkan 369 sekolah dengan tenaga solar.
Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta pada 2016 dan 2017. – 8 Disember, 2021.
Komen