SUASANA di luar mahkamah rayuan hari ini tidak seperti ketika keputusan perbicaraan Najib Razak dibacakan di mahkamah tinggi pada Julai tahun lalu yang mana ramai penyokongnya berkumpul, pagi ini terdapat kira-kira 100 penyokong.
Kumpulan penyokong Najib hari ini agak berbeza - selain daripada laungan Bebas Najib! sebelum keputusan dibacakan, mereka hanya diam.
Mereka kelihatan tenang selepas keputusan mahkamah dimaklumkan kepada mereka hari ini.
Ada yang mengeluh mengenai apa yang bekas perdana menteri itu telah lakukan manakala yang lain mengingati bagaimana beliau membantu mereka semasa memegang jawatan.
Rosnah Ila, 41, berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana ia sudah dijangkakan olehnya.
“Kami sebagai penyokong sudah menjangkakan perkara ini kerana apa yang disampaikan hari ini bukanlah apa yang dipanggil keadilan.
“Jika ini keadilan, di mana Jho Low, di mana Nik Faizal dan semua saksi lain,” soalnya berhubung ahli perniagaan dalam pelarian yang masih bebas dan tidak pernah dibawa ke mahkamah kerana penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Seorang lagi penyokong yang tidak mahu dikenali berkata bahawa Najib banyak berjasa kepadanya dan keluarganya dan merasakan beliau tidak seharus berdepan situasi ini.
“Beliau membayar semua yuran sekolah anak saya dan beliau juga telah banyak berjasa kepada masyarakat tidak seperti perdana menteri yang lain.
“Saya tidak faham kenapa mereka selalu menyerang orang yang banyak berjasa kepada masyarakat.
“Sekarang mahkamah telah mengekalkan sabitan dan hukuman, di mana saya hendak minta bantuan,” katanya.
Seorang lagi penyokong Khalid Ali, 53, dari Terengganu berkata, beliau tidak tahu hendak pergi kepada siapa untuk mendapatkan bantuan jika benar-benar memerlukannya.
“Sepanjang Najib menjadi perdana menteri, beliau banyak berjasa kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar.
“Mereka yang tinggal di bandar mungkin tidak memerlukan bantuan seperti membayar yuran sekolah anak-anak, bekalan makanan, dan sebagainya tetapi kami di kawasan luar bandar memerlukannya,” kata Khalid yang bekerja sendiri.
Beliau menambah, apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, mereka jarang membantu rakyat di kawasan luar bandar. – 8 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen