BRAZIL pada Selasa tidak mengenakan syarat sijil vaksinasi Covid-19 bagi pelancong asing yang tiba, walaupun ia cadangan daripada pengawal selia kesihatan negara itu.
Tindakan itu dibuat selepas Presiden Jair Bolsonaro membandingkan mandat sedemikian dengan “tali” untuk haiwan.
Menteri Kesihatan Marcelo Queiroga memberitahu pemberita selepas mesyuarat di penjabat presiden yang manusia tidak wajar didiskriminasi antara yang sudah divaksin dan sebaliknya bagi melaksanakan sekatan.
Bagaimanapun, Queiroga berkata dengan ciri-ciri tepat varian Omicron yang masih tidak diketahui, Brazil akan memerlukan kuarantin selama lima hari bagi pelancong yang tidak divaksin, seperti disyorkan oleh pengawal selia kesihatan Anvisa.
Selepas tempoh itu, dan dengan ujian PCR negatif, warga asing yang melancong ke negara itu boleh menikmati keindahan Brazil, kata menteri itu.
Sehingga kini, satu-satunya keperluan ialah mengemukakan ujian PCR yang negatif.
“Kadang-kala lebih baik kehilangan nyawa daripada kehilangan kebebasan anda,” tambah Queiroga, mengulangi kenyataan Bolsonaro sebelum ini.
Menjelang pengumuman itu, Bolsonaro, yang belum diberi vaksin, menolak permintaan Anvisa untuk mewajibkan pasport kesihatan.
“Kami bertanya, mengapa pasport kesihatan? Apakah tali yang mereka mahu letakkan pada rakyat Brazil? Di manakah kebebasan kita? Saya lebih rela mati daripada kehilangan kebebasan saya,” kata bekas pegawai tentera itu.
Brazil menyaksikan lebih 615,000 kematian akibat Covid-19 sejak permulaan pandemik, yang kedua selepas Amerika Syarikat. – AFP, 8 Disember, 2021.
Komen