NGO Tamilar Kural Malaysia mahu polis mendedahkan hasil siasatan berhubung kes M. Vasanthapiriya.
Berikutan ahli keluarga remaja itu mahukan keadilan, presiden Tamilar Kural Malaysia David Marshel berkata polis perlu mendedahkan perkembangan siasatan kes berkenaan.
“Bapa saudara pelajar itu sudah membuat laporan polis Rabu lalu dan ahli keluarganya diambil keterangan pada hari berikutnya.
“Namun hingga hari ini, tiada siapa yang tahu perkembangannya. Malah wartawan juga berkata mereka tidak dapat menghubungi polis untuk mendapatkan komen,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan bilik mayat Hospital Seberang Jaya.
Pelajar Tingkatan Dua SMK Methodist Nibong Tebal itu dilaporkan cuba membunuh diri selepas gurunya menuduh dia mencuri telefon bimbit iPhone Rabu lalu.
Dia bagaimanapun menafikannya, namun guru terbabit tidak percayakannya. Dia kemudiannya bertindak cuba membunuh diri dengan mengantung diri di rumahnya. Selepas seminggu berada dalam keadaan koma, dia dilaporkan meninggal dunia pagi ini.
Vasanthapiriya juga didakwa ditegur dan dipukul oleh guru di hadapan pelajar lain selepas dia menafikan mencuri di sekolah. Dia juga didakwa dikurung dalam sebuah bilik di bilik guru sekolah berkenaan sebelum dibawa pulang ke rumah oleh guru terbabit dan suaminya untuk bertemu dengan ibu bapa pelajar itu.
Sebaik tiba di rumah, remaja terbabit bertindak menggantung diri ketika ibu bapanya dan guru terbabit keluar untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Ibu bapa pelajar berkenaan menemuinya masih hidup namun tidak sedarkan diri selepas pulang ke rumah.
Ahli keluarganya mendakwa, mereka diberitahu rakan-rakan Vasanthapiriya, guru berkenaan dilihat bersama telefon bimbitnya sehari selepas insiden itu.
“Kami mahukan keadilan untuk remaja ini dan keluarganya. Polis dan Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan status kes berkenaan.
“Mengapa sehingga kini masih tiada respons daripada pihak polis? Nama Vasanthapiriya perlu dibersihkan,” kata David.
“Apa yang berlaku terhadap guru terbabit? Adakah dia masih di pejabat pendidikan daerah? Adakah dia disoal siasat? Ditahan?
“Kami difahamkan timbalan menteri pendidikan P. Kamalanathan melawat keluarga ini baru-baru ini dan berkata tindakan sewajarnya akan diambil. Tetapi sehingga kini tiada apa-apa,” katanya.
Panggilan telefon dan mesej teks kepada ketua polis Pulau Pinang A. Thaiveegan untuk bertanya tentang kes ini masih tidak dijawab sejak Isnin.
Terdahulu, ibu saudara Vasanthapiriya, A, Lalitha 43, berkata, keluaarganya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap guru yang menuduh dan suaminya serta dua lagi guru yang didakwa terbabit menyoal anak saudaranya di sekolah.
Sementara itu, Tamilar Kural Malaysia telah memulakan kempen untuk remaja terbabit dengan hashtag #Justice4Vasanthapiriya.
Setiausaha NGO terbabit Satees Muniandy berkata, piahknya sudah berhubung dengan peguam untuk melihat perkara ini dan memberi nasihat kepada keluarga Vasanthapiriya. – 1 Februari, 2018.
Komen