Kerajaan batalkan lesen jual minuman keras di restoran, kedai kopi


Presiden MCA Wee Ka Siong berkata Kementerian Kewangan sudah mengarahkan Jabatan Kastam membatalkan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021. 

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mengarahkan Jabatan Kastam untuk membatalkan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi, kata Wee Ka Siong.

Presiden MCA itu berkata beliau sudah menghubungi sendiri Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai perkara itu.

“Beliau (Tengku Zafrul) mengesahkan kementeriannya telah membatalkan arahan itu dan berjanji untuk sekali lagi mengarahkan Jabatan Kastam mematuhinya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.

Hantaran itu disertakan dengan surat daripada Setiausaha Bahagian Cukai Che Nazli Jaafar yang memaklumkan keputusan itu kepada Jabatan Kastam.

Dilaporkan mulai 1 Januari Jabatan Kastam mengarahkan kedai kopi untuk mendapatkan lesen berasingan untuk menjual bir. 

Wee berkata beliau segera bertindak mengenai perkara itu apabila ia dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Wong Teu Hoon.

“Wong menghubungi saya dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong apabila persatuan itu menerima pekeliling mengenai keperluan lesen minuman keras untuk menjual alkohol.

“Kami segera berusaha untuk menangani isu ini dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Katanya pada November lalu beberapa pemilik restoran dan kedai kopi di negeri-negeri tertentu dijemput menghadiri taklimat oleh jabatan itu.

“Mereka diarahkan untuk memohon lesen arak daripada jabatan itu yang menimbulkan kekecohan.

“Tiga minggu lalu saya sekali lagi bercakap dengan Tengku Zafrul mengenai perkara itu,” katanya.

 

Wee berkata pada 23 November lalu MOF mengeluarkan surat rasmi untuk mengarahkan jabatan itu membatalkan pelaksanaan mewajibkan lesen arak bagi penjualan minuman beralkohol.

“Ini kerana MOF pada 1977 telah memberi kuasa kepada menteri besar dan ketua menteri di setiap negeri untuk mengendalikan perkara ini melalui Lembaga Perlesenan di bawah kerajaan tempatan masing-masing.

“Jabatan Kastam adalah sebahagian daripada Lembaga Perlesenan setiap negeri dan ia tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan kedai kopi serta restoran memohon lesen minuman keras,” katanya.

Tambahnya Kementerian Kewangan kemudiannya membatalkan pekeliling yang dikeluarkan pada 7 April yang meminta pemilik perniagaan memohon lesen minuman keras daripada jabatan itu sebelum 31 Disember.

“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama; orang bukan Islam mempunyai hak untuk minum arak dan ini mesti dihormati,” katannya. – 7 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen