Singapura sahkan 2 kes import Omicron


Singapura mengumumkan dua kes import Covid-19 varian Omicron yang tiba dari Johannesburg pada 1 Disember. – Gambar EPA, 7 Disember, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin mengesahkan varian Omicron dalam dua kes import pertama Covid-19, yang pada awalnya disyaki sebagai pembawa varian itu.

Dalam kemas kini harian mengenai Covid-19 malam tadi, MOH memaklumkan pengesahan itu disusuli keputusan penjujukan genom keseluruhan untuk kes berkenaan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional republik itu.

“Kedua-dua pesakit sudah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom ringan, batuk dan tekak gatal. Mereka diasingkan sebaik tiba di Singapura pada 1 Disember, dan tidak berinteraksi dengan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

MOH pada 2 Disember mengumumkan ia mengesan dua kes import Covid-19 yang dilabel sebagai Kes 271487 dan 271598 yang positif dalam ujian awal untuk varian itu. 

Kedua-dua kes itu tiba dari Johannesburg dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Disember.

Pada Ahad (5 Disember) MOH mengesan satu lagi kes import Covid-19 yang positif ujian awal untuk varian Omicron.

Kes itu berada dalam penerbangan yang sama dengan dua kes pertama.

Sehingga 5 Disember, bilangan individu lengkap vaksin atau menerima dua dos vaksin Covid-19 adalah 96% daripada populasi yang layak di negara itu.

Sebanyak 87% populasi negara itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 28% menerima suntikan penggalak.

Sehingga Isnin 6 Disember, Singapura melaporkan 269,873 kes Covid-19 dengan 763 kematian. – Bernama, 7 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen