PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu hadir untuk menjawab sendiri pertanyaan ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kata Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon.
“Sesi ini dipanggil Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan kerana itu mana-mana menteri boleh menjawab bagi pihak perdana menteri,” kata Rashid di Dewan Rakyat, hari ini.
Rashid menjawab isu yang dibangkitkan oleh Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PH) yang bertanya kenapa Ismail, yang juga ahli Parlimen Bera, tidak hadir hari ini biarpun ada tiga pertanyaan yang dikemukakan kepadanya.
“Ini konvensyen Parlimen yang di United Kingdom perdana menterinya menjawab sampai 30 pertanyaan di Parlimen. Kenapa Bera tidak ada di sini untuk jawab pertanyaan menteri?” tanya wakil rakyat PKR itu.
Rashid bagaimanapun mempertahankan Ismail Sabri.
Katanya, menteri lain boleh menjawab bagi pihak perdana menteri.
Ini bukan kali pertama Rashid mempertahankan kerajaan. Beliau misalnya sebelum ini menghalang pembangkang daripada menggasak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed (Jeli-PN) berkenaan isu kenaikan harga makanan.
Ismail Sabri setakat ini tidak pernah hadir untuk sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. Beliau dilihat di Parlimen sebelum ini semasa pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober.
Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri ialah ruang untuk menteri menjawab sendiri soalan ahli Parlimen dan tidak menyerahkan tugas itu kepada timbalan.
Sesi itu berlangsung dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis, dan terhad kepada tiga soalan dan dua soalan tambahan.
Tiga pertanyaan kepada perdana menteri hari ini ialah mengenai gagasan Keluarga Malaysia dan orang Islam oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-PN), SOP untuk sambutan Hari Thaipusam 18 Januari ini oleh V Sivakumar (Batu Gajah-PH), dan isu kenaikan harga barangan asas oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH). – 7 Disember, 2021.
Komen