Jangan pandang ringan kluster pendidikan meningkat, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 16 kluster baharu melibatkan institusi pendidikan, 12 kluster berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2021.

JUMLAH kluster pendidikan yang meningkat semula kebelakangan ini bukanlah satu perkara yang harus dipandang ringan, kata Dr Noor Hisham.

Ketua pengarah kesihatan berkata data menunjukkan daripada 16 kluster baharu melibatkan institusi pendidikan, 12 berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi. 

“Peningkatan semula kluster pendidikan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan individu dari pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama dan ketidakpatuhan seseorang individu terhadap SOP yang sedia ada akan mencetuskan kluster yang tidak kita ingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, walaupun kebanyakan populasi remaja dan dewasa di negara ini telah lengkap divaksinasi, namun ini tidak bermakna pematuhan prosedur operasi standar (SOP) tidak diperlukan lagi.

Susulan itu katanya, orang ramai perlu memakai pelitup muka dengan cara yang betul, sentiasa mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal bagi mencegah jangkitan Covid-19. 

“Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek) bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang di sekeliling kita daripada risiko jangkitan.

“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga mempunyai SOP yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh guru, petugas, murid, pekerja sokongan dan lain-lain,” katanya.

Dr Noor Hisham menegaskan pematuhan SOP amat penting bagi memastikan tidak berlaku jangkitan Covid-19 dan penularan jangkitan di sekolah serta selanjutnya boleh menyebabkan berlaku dalam keluarga dan komuniti. 

Ia bukan sahaja penting semasa waktu pembelajaran di dalam kelas dan ketika di dalam sekolah, malah juga ketika waktu rehat, waktu menjalankan aktiviti fizikal seperti bersukan, waktu masuk dan pulang dari sekolah, di dalam van dan bas sekolah, serta semasa menjalankan aktiviti harian di dalam komuniti. 

“Jangkitan dan penularan boleh berlaku di mana-mana, maka semua pihak perlu peka dan tidak lalai dalam mematuhi SOP yang ditetapkan,” jelasnya. – 6 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen