AMANAH akan menggesa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob dikaji semula jika golongan kleptokrat kembali berkuasa, kata Khalid Samad.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata calon partinya menang pada Pilihan Raya Umum 2018 kerana rakyat Malaysia menolak kleptokrasi.
Tambahnya, Amanah tidak akan teragak-agak menolak MoU itu sekiranya golongan kleptokrat dilihat mempengaruhi kerajaan.
“Amanah akan sarankan Pakatan Harapan (PH) menyemak semula MoU itu,” kata pengarah komunikasi Amanah itu pada sidang media di Parlimen hari ini.
Kleptokrat digunakan secara meluas oleh pembangkang untuk merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa bekas menteri lain yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.
Daripada kumpulan itu, hanya Najib yang disabitkan bersalah tahun lepas manakala keputusan untuk perbicaraan Zahid Hamidi akan diketahui selepas beliau memilih untuk bela diri atau tidak pada 18 Januari depan.
Kepulangan golongan kleptokrat itu terjadi selepas Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dan Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak) melancarkan Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan PH, kata Khalid.
Ketika ditanya, Khalid berkata MoU itu bukan kekal.
“Kita perlu kaji semula perjanjian itu jika kerajaan tidak boleh telus dan jujur,” kata Khalid.
Perdana Menteri Ismail Sabri akan menyambut 100 hari pertama beliau memegang jawatan pada 9 Disember.
Di sebalik keadaan yang sukar, selepas Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Ogos, Ismail Sabri berjaya menandatangani perjanjian “keyakinan dan bekalan” dengan PH.
PH bagaimanapun mendapat tekanan sejak kebelakangan ini berikutan beberapa keputusan yang meragukan oleh pentadbiran Ismail Sabri. – 6 Disember, 2021.
Komen