Rosmah gagal batalkan perbicaraan rasuah


Noel Achariam

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan memutuskan Gopal Sri Ram kekal sebagai ketua pendakwa raya dalam kes berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Disember, 2021.

ROSMAH Mansor hari ini gagal dalam usahanya untuk membatalkan kelayakan ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes rasuahnya yang sedang berjalan dan membatalkan perbicaraan.

Hakim Mahkamah Rayuan Hanipah Farikullah dalam penghakimannya berkata kedua-dua rayuan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan telah ditolak.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Hanipah Farikullah, M. Gunalan dan Hashim Hamzah sebelum ini mendengar hujahan daripada peguam Sri Ram dan Rosmah, Jagjit Singh.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak merayu terhadap keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan dan mengetepikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

Rosmah menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran bagi membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk melengkapkan 369 sekolah di luar bandar Sarawak dengan tenaga hibrid solar.

Hanipah berkata hakim bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan bahawa mahkamah tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pelepasan yang dimohon Rosmah.

Beliau berkata mereka berpandangan bahawa pelepasan itu mestilah mengikut perkara yang dibenarkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

“Kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa jenayah tidak mempunyai kuasa untuk memberikan relif yang dipohon oleh perayu (Rosmah).

“Relief yang dicari adalah perintah pengisytiharan semata-mata yang diperuntukkan di bawah akta pelepasan tertentu.”

Pada 24 September, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk Sri Ram berundur dan berkata pelantikannya pada 2018 oleh peguam negara (AG) Tommy Thomas ketika itu adalah sah di bawah seksyen 376, 377, 378 dan 379 Kanun Tatacara Jenayah.

Zaini juga menerima hujahan alternatif bahawa surat pelantikan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara Idrus Harun untuk Sri Ram pada 21 Mei lalu boleh memulihkan sebarang kecacatan dalam proses pelantikan.

Beliau berkata ini kerana Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 membenarkan mana-mana pihak berkuasa untuk melantik seseorang secara retrospektif.

Rosmah juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta pada 2016 dan 2017.

Perbicaraan beliau di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadualkan bersambung pada Rabu ini. – 6 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen