BERSATU akan mengumumkan tindakan ke atas ahlinya yang bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kata ketua penerangannya Wan Saiful Wan Jan.
Sekurang-kurangnya empat pemimpin dan ahli Bersatu mengemukakan kertas pencalonan sebagai calon bebas pada penamaan calon pagi ini, antaranya Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju yang bertanding mempertahankan kerusinya di Krian.
“Perlembagaan Bersatu menyatakan bahawa mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas, termasuk boleh terhenti keahlian serta merta.
“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini,” katanya dalam satu komen ringkas.
Ali, wakil rakyat kerusi DUN Krian sejak dua penggal lepas, hari ini mengemukakan pencalonan sebagai calon bebas selepas Bersatu tidak bertanding dalam PRN Sarawak.
Ali adalah bekas ahli parlimen PKR yang menyertai Bersatu bersama kumpulan penyokong Mohamed Azmin Ali selepas episod percaturan politik Langkah Sheraton menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding sebagai calon bebas ialah Ricky Enteri (Bawang Assan), Siki Balarik (Belaga), dan Ismawi Muhammad (Muara Tuang).
Ismawi adalah juga ketua bahagian Bersatu Kota Samarahan.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata pihaknya membuat keputusan itu selepas perbincangan dengan pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg.
Selepas selesai proses penamaan calon pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan empat calon bertanding di kerusi DUN Krian iaitu Ali, Musa Dinggat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday Belik (GPS).
Dalam pada itu, Wan Saiful mengulangi kenyataan Muhyiddin menyeru ahli Bersatu untuk membantu kemenangan besar GPS. – 6 Disember, 2021.
Komen