MUHYIDDIN Yassin semakin keliru kerana mengatakan parti politik dominan tidak lagi sesuai untuk memimpin negara, demikian menurut Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata parti politik dominan masih relevan dan mendakwa presiden Bersatu itu disingkirkan daripada jawatan perdana menteri kerana partinya tidak dominan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Agaknya beliau lupa bahawa beliau tersingkir daripada jawatan perdana menteri kerana Bersatu itu tidak dominan dalam kerajaan PN.
“Kerana parti beliau Bersatu itu kecil lah maka kerajaan pimpinan beliau begitu mudah sekali tersungkur,” kata naib presiden Umno itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Semalam, pada pelancaran mesyuarat agung tahunan Gerakan ke-50, Muhyiddin memberi amaran tentang bahaya mempunyai parti politik yang dominan memerintah negara.
Katanya, ketika era Barisan Nasional menunjukkan bagaimana sistem sedemikian membawa kepada keruntuhan sistem di Malaysia.
Dalam ucapannya, bekas perdana menteri itu berkata, adalah tidak baik negara diperintah oleh satu parti politik yang dominan.
Beliau menarik perhatian penyatuan kuasa yang dinikmati BN sebelum kejatuhannya pada 2018 menyaksikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah semakin berleluasa berikutan ketiadaan semak dan imbang yang kukuh.
“Pada peringkat awal, sistem sebegini yang mampu mewujudkan kestabilan politik dilihat berkesan untuk memacu pembangunan negara.
“Namun bertahun-tahun, kuasa politik semakin tertumpu kepada individu yang memimpin parti dan kerajaan. Ahli parti perlu akur dengan setiap keputusan dan tindakan yang diambil oleh pemimpin parti, termasuk apabila apa yang mereka lakukan tidak semestinya betul,” beliau dipetik sebagai berkata.
Khaled berkata ketidakstabilan politik Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu adalah disebabkan ketiadaan parti politik yang dominan.
Malah, katanya adalah memalukan melihat beberapa ahli Parlimen melompat parti untuk membentuk kerajaan dan mengkhianati mandat rakyat.
“Mungkin beliau tidak ingat bahawa kestidakstabilan politik yang Malaysia alami selama 42 bulan lepas ialah kerana tiadanya parti terbesar dan dominan dalam membentuk kerajaan.
“Sehingga berlakunya tragedi puluhan ahli Parlimen lompat melompat parti demi memperdagangkan kedudukan mereka bagi membentuk kerajaan.
“Malaysia tidak pernah menyaksikan episode khianat mandat rakyat dalam magnitud sedemikian.
“Hanya semenjak Bersatu menjadi kerajaan dalam PH dan PN, budaya politik curang itu menjadi kelaziman,” kata bekas menteri besar Johor itu.
Khaled juga bertanya sama ada pengerusi PN itu terlupa bahawa Malaysia mengikut demokrasi ala Westminister.
“Maknanya hanya parti terbesar dan terkuat di jemput untuk membentuk kerajaan.
“Di seluruh dunia, pergerakan politik kepartian bertungkus lumus untuk memenangi pilihan raya dengan kerusi terbanyak. Hanya dengan kerusi terbanyak, kerajaan majoriti dapat dibentuk.
“Dengan majoriti yang selesa, kerajaan boleh fokus dengan membangun negara dan bukannya menyelamatkan kuasa,” katanya.
Khaled berkata beliau ingin tahu berapa banyak kerusi yang akan ditandingi Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Dalam PRU ke 13, mereka menang hanya 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka menjadi perdana menteri.
“Mungkin kerana itu, Bersatu selesa untuk hanya menjadi parti kecil tetapi memerlukan nyawa dari UMNO.
Khaled berharap Umno akan menang besar dalam PRU akan datang dan kembali berkuasa sebagai parti politik dominan. – 5 Disember, 2021.
Komen