AHLI Parlimen DAP Hannah Yeoh menegaskan beliau akan memakai pakaian yang perlu sesuai dengan majlis yang dihadirinya selepas dikritik pemimpin partinya sendiri kerana memakai tudung semasa hadir di sebuah masjid di kawasan parlimennya di Segambut baru-baru ini.
“Perbuatan menutupi kepala di hadapan mereka yang dihormati adalah sebagai tanda hormat kepada mereka. Ia juga adab kesopanan.
“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat selama 13 tahun di kawasan berbilang kaum dan agama seperti di Segambut dan Subang Jaya, saya sentiasa memberikan penghormatan seperti ini semasa saya turun ke kawasan saya. Saya akan terus melakukannya walaupun berhadapan dengan segelintir suara yang melampau di tanah air sendiri,” kata ahli Parlimen Segambut itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook hari ini.
Hannah menambah beliau akan terus memakai selendang dengan sewajarnya.
Kenyataan itu turut disertakan dengan gambar lawatannya ke tempat ibadat termasuk gurdwara di mana penutup kepala diperlukan.
Bekas pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau dilaporkan mengecam tindakan Yeoh.
Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng membela Yeoh dan berkata Boo tidak seharusnya taksub dengan pakaian yang dipakai oleh pemimpin parti wanita ketika melawat masjid atau tempat ibadat.
Yeoh berkata bertudung di masjid tidak mengubah bangsa atau agamanya.
Memetik ayat dari Bible, Yeoh berkata ia hanya menguatkan lagi imannya dalam menjunjung satu daripada dua perintah terbesar dalam Bible.
Yeoh juga menyeru Malaysia yang sederhana dengan berkata ia adalah negara untuk semua dan perlu menghormati semua orang.
“Hormati mereka yang berada di sekeliling anda dan terapkan nilai kebaikan ini kepada jiran-jiran anda. Sikap mementingkan diri sendiri hanyalah resipi untuk bencana yang lebih besar.
“Sampaikan suara rakyat Malaysia yang sederhana supaya ia bergema kuat di tempat kerja, kawasan kejiranan, ketika pertemuaan bersama keluarga, tempat ibadat dan melalui media sosial kita,” katanya.
Ini bukan pertama kali Yeoh dikecam kerana bertudung di masjid.
Beliau pernah dilabel “musuh” kepada kaumnya sendiri pada 2015. – 5 Disember, 2021.
Komen