Lingua franca apa jadah!


Haris Hauzah

BEBERAPA hari lalu, sewaktu berucap dalam majlis perasmian malam kemuncak pertandingan akhir pidato antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021, Ismail Sabri Yaakob menyebut tentang betapa Bahasa Melayu sudah pun mencapai suatu tahap pengantarabangsaan yang harus dibanggakan. 

Kata perdana menteri Malaysia ke-9 itu “Bahasa Melayu sememangnya sudah mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bahasa antarabangsa yang lain” – tanpa menyebutkan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa antarabangsa yang mana satu.

Perkara itu menurutnya berdasarkan dapatan lebih 6,000 bahasa yang masih dituturkan pada waktu ini, hanya 20 bahasa sahaja yang diberikan taraf bahasa rasmi. 

Menurutnya, orang Melayu sangat wajar berasa bangga atas kejayaan Bahasa Melayu itu. 

Malah katanya, sangat harus disyukuri apabila Bahasa Melayu berhasil menduduki tempat ke-10 sebagai bahasa paling ramai penutur.

Realiti

Namun di sebalik semua kisah yang membuat habis kembang semua bontot orang Melayu di hadapan peserta Mali, Guinea, Jepun, Uzbekistan dan Mesir yang mendengar ucapannya pada malam itu, ada banyak realiti tentang Bahasa Melayu yang tidak dicerita dan diberitahu. 

Sebetulnya ada rasa yang tidak nyaman tatkala membicarakan tentang untung rugi Bahasa Melayu. 

Tidak seperti kehebatan ucapan seorang perdana menteri parti Melayu dalam suatu majlis pidato antarabangsa Bahasa Melayu pada malam itu, Bahasa Melayu sebetulnya berdepan dengan bermacam pergelutan yang membunuhnya secara senyap dan perlahan.

Semua pun tahu, tiang kepada sesuatu bangsa adalah anak muda, sementara pusat kepada pembudayaan bahasa sesuatu bangsa itu tentu saja terbangun dan terbina di sekolah dan universiti yang ada di seluruh negara.

Dasar PPSMI yang terbukti gagal tapi kemudian diganti dengan DLP itu misalnya, tidak ubah merupakan salah satu usaha terang-terangan bagi melemahkan Bahasa Melayu berbanding mengupayakan fungsinya sebagai bahasa penyatuan.

Malah pengkhianatan fungsinya sebagai bahasa ilmu hanya menjadikan DLP sebagai instrumen pemecah belah. 

Potensi sebenar para pelajar dibeza dan didwistandardkan melalui pewujudan tembok pemisahan antara pelajar yang mengikuti subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Penindasan itu kemudiannya dipanjangkan selepas mereka menamatkan persekolahan apabila ada semacam keistimewaan berpilih yang diberikan kepada pelajar lepasan bahasa Inggeris ketimbang Bahasa Melayu. 

Walaupun senario yang berlaku ini boleh jadi masih dianggap terpencil, terpendam dan semudah merampas kerajaan melalui pintu belakang saja kerajaan ini boleh abai dan nafikan, namun musibah dan bencananya kepada Bahasa Melayu sudah pun mula menunjukkan kesan.

Bahasa perhubungan

Kesan kedua itu boleh dilihat kepada peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan. ‘Lingua franca’ yang disebut Ismail Sabri penuh retorika – seolah-olah tidak mustahil bagi suatu bahasa yang telah dituturkan lebih daripada 300 juta orang untuk kembali menjadi ‘lingua franca’ – adalah kata-kata yang jauh daripada realiti bahasa itu di lapangan.

‘Lingua franca’ yang dimomokkan Ismail Sabri pada malam itu bukanlah sihir yang menjadikan Bahasa Melayu begitu penting serta sungguh diminati pada abad ke-7 sampai abad ke-17. 

Semua itu dapat berlaku apabila Bahasa Melayu diupayakan menurut fungsinya sebagai bahasa perhubungan serantau. 

‘Lingua franca’ yang bermaksud bahasa perantara itu menjadi sedemikian penting apabila terdapatnya pemusatan rantau kepulauan Melayu seperti Melaka yang muncul sebagai pusat ilmu, pendidikan, perniagaan dan ekonomi, yang memartabatkan bahasanya sendiri dalam semua jenis urus niaga perhubungan. 

Dasar itu telah mengakibatkan Bahasa Melayu menjadi unggul dan sangat penting apabila ia menjadi bahasa rasmi dalam pentadbiran dan perniagaan. 

Perkembangan itu malah telah menjadikan Bahasa Melayu yang indah, menarik dan mudah dipelajari itu begitu ‘trending’. Lantas keghairahan untuk menuturkannya jadi begitu membuak-buak dalam kalangan masyarakat. 

Sesuatu dasar atau polisi bahasa pengantar dalam pendidikan seharusnya tidak sampai mengakibatkan marginalisasi sosial. Sehingga apa yang diistilahkan sebagai ‘aparteid’ atau penyisihan yang bertujuan memisahkan dua kumpulan pelajar yang mengikuti pelajaran sains dan matematik itu berlaku. 

Hal dwistandard itu juga sebenarnya berlaku dalam sektor pengajian tinggi serta dalam urusan pekerjaan, ekonomi dan perniagaan.

Pemencilan upaya

Hal ini sama ada sedar atau tidak adalah sejenis pemencilan terhadap pengupayaan potensi Bahasa Melayu. Dalam jangka masa yang lebih lama, Bahasa Melayu itu sebetulnya cuma dilemahkan fungsi dan peranan.

Apa yang tidak diberitahu oleh Ismail Sabri pada malam itu ialah masalah-masalah Bahasa Melayu – iaitu semenjak lebih 60 tahun negara ini merdeka, Bahasa Melayu hanya menjadi bahasa orang pinggiran. 

Ia terperuk kerana status kemiskinan serta menjadi bahasa buat orang yang kurang pelajaran. 

Potensi Bahasa Melayu disorok, keupayaannya disangsikan bukan hanya oleh masyarakat tetapi juga oleh raja-raja, penguasa dan bangsanya sendiri hingga ia tidak lagi menjadi bahasa yang berjati diri. 

Biar apapun kata perdana menteri yang terpaling banyak penasihat itu tentang Bahasa Melayu, selagi Bahasa Melayu tidak menjadi bahasa teras dalam pendidikan dan pengajian, ekonomi dan perniagan ia akan tetap menjadi bahasa orang miskin, yang tidak lagi punyai keghairahan untuk dituturkan. 

Tiada jaminan yang Bahasa Melayu itu akan diupayakan, dikuasakan atau diperbesarkan peranannya walau telah lebih 60 tahun negara ini merdeka dan hidup bawah pemerintahan raja-raja Melayu dan parti Melayu. 

Ini kerana Bahasa Melayu akan terus disimpan dalam reban – buat modal bila mana perlu ianya berguna untuk dipolitikkan. – 5 Disember, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen