KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 36 kematian baharu berkaitan Covid-19 semalam, menjadikan jumlah korban wabak negara mencecah 30,574 orang.
Pangkalan data mentah KKM, GitHub menunjukkan semua kematian adalah kategori kematian tertunda.
Daripada 36 kematian baharu itu, lapan kematian direkodkan sebagai kematian dibawa ke hospital (BID), menjadikan jumlah kematian kategori itu kini adalah 6,189 orang.
Jumlah kematian harian Covid-19 dikira sebagai jumlah kematian yang dilaporkan pada hari sama dan jumlah kes yang baharu disahkan sebagai Covid-19 selepas siasatan dibuat pihak berkuasa kesihatan.
Sabah melaporkan sembilan kematian baharu semalam, tertinggi di Malaysia.
Negeri lain yang turut melaporkan kematian baharu adalah Pulau Pinang (6), masing-masing empat kematian di Johor dan Kelantan, tiga kes di Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu, dua kes di Pahang dan satu kes masing-masing di Perlis dan Selangor.
Tiada kematian berkaitan koronavirus dilaporkan di Kedah, Melaka, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Daripada lapan kes BID, tujuh dilaporkan di Sabah dan satu kes di Perak.
Dalam tempoh dua minggu, Lembah Klang yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 91 kematian kerana Covid-19, meningkatkan jumlah korban wabak di kawasan itu sebanyak 59%.
Kadar kematian disebabkan wabak di Malaysia setakat semalam adalah 0.8%, dengan purata nasional kematian koronavirus adalah 14 orang per 1 juta penduduk negara. – 5 Disember, 2021.
Komen