Perlu usaha kolektif turunkan harga barang, kata Anwar kepada Putrajaya


Raevathi Supramaniam

Harga barangan keperluan meningkat sejak beberapa minggu lalu menyebabkan ramai pengguna mengeluh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

USAHA menurunkan harga barang keperluan mestilah merupakan usaha seluruh kerajaan dan bukannya hanya satu kementerian, kata Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata Putrajaya mesti meningkatkan usaha menurunkan harga memandangkan harga barangan yang melambung tinggi.

“Kerajaan mesti mengambil langkah menyeluruh. Orang yang telah menjawab semua kenaikan harga ialah menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

“Saya katakan ia mesti melibatkan semua. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan dan perdana menteri perlu menubuhkan jawatankuasa kabinet juga,” katanya kepada pemberita di Port Dickson hari ini.

Ini kerana mengawal lonjakan harga barang melibatkan modal, pasaran dan suntikan tunai daripada kerajaan, tambahnya.

“Mereka hanya boleh melepaskan dan menyalahkan harga baja. Kalau baja dah naik pun, harga kena kawal, macam harga ayam.

“Mengapa ada ayam dijual pada harga RM8 manakala yang lain dijual pada harga RM10? Ini menunjukkan bahawa ini adalah persoalan pemasaran.”

Harga sayur melambung tinggi baru-baru ini, sehingga 200%. Petani menyalahkan beberapa faktor seperti kekurangan buruh, kos bahan input yang lebih tinggi, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.

Brokoli dan bunga kobis dari China kini masing-masing berharga sekitar RM15 dan RM17 sekilogram.

Sayuran lain seperti kailan kini berharga RM13 sekilogram manakala kacang panjang yang dahulunya berharga RM5-6 sekilogram telah meningkat kepada RM9. – 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen