PN pilihan rakyat Malaysia pada PRU akan datang, kata Muhyiddin


Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan perhimpunan tahunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar Facebook, 4 Disember, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) akan menjadi pilihan rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Muhyiddin Yassin.

Beliau melahirkan keyakinan berdasarkan gabungan baharu yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu yang menjurus kepada pembentukan kerajaan PN di negeri itu.

Pengerusi Bersatu itu berkata, terdapat tanda positif gabungan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai.

Beliau berkata, parti itu juga meraih sokongan semasa PRN Melaka baru-baru ini apabila mereka menang dua daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan mesej parti itu mempunyai daya tarikan ketara dengan pengundi muda.

“Pada PRN Sabah, PN mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Sabah.

“Kami memenangi bilangan kerusi terbanyak dalam kalangan parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya optimis PN akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat pada PRU15,” katanya dipetik sebagai berkata semasa berucap pada perhimpunan tahunan parti Gerakan hari ini.

Gerakan adalah ahli PN. Selain Bersatu, ia turut disertai PAS serta dua parti Sabah – Star dan SAPP.

Muhyiddin memegang jawatan perdana menteri hinggalah beliau kehilangan majoriti di Parlimen selepas Umno menarik balik sokongan terhadap kepimpinannya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam menarik balik sokongan berkata, Muhyiddin gagal memenuhi syarat yang digariskan Umno apabila menyokongnya menjadi perdana menteri pada Mac 2020 iaitu menerajui pemulihan ekonomi dan menangani wabak Covid-19 secara berkesan.

Beliau berkata, seorang perdana menteri baharu perlu dilantik untuk menguruskan wabak itu hingga pilihan raya boleh diadakan.

Dalam ucapannya, bekas perdana menteri itu berkata, adalah tidak baik negara diperintah oleh satu parti politik yang dominan.

Beliau menarik perhatian penyatuan kuasa yang dinikmati BN sebelum kejatuhannya pada 2018 menyaksikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah semakin berleluasa berikutan ketiadaan semak dan imbang yang kukuh.

“Pada peringkat awal, sistem sebegini yang mampu mewujudkan kestabilan politik dilihat berkesan untuk memacu pembangunan negara.

“Namun bertahun-tahun, kuasa politik semakin tertumpu kepada individu yang memimpin parti dan kerajaan. Ahli parti perlu akur dengan setiap keputusan dan tindakan yang diambil oleh pemimpin parti, termasuk apabila apa yang mereka lakukan tidak semestinya betul,” beliau dipetik sebagai berkata. – 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen