Pengilang gesa kerajaan tarik balik pembekuan ambil pekerja asing


Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia berkata kekurangan pekerja akan melambatkan proses pemulihan ekonomi negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

PERSEKUTUAN Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) hari ini menggesa kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing bagi menangani isu tunggakan tempahan dalam sektor pembuatan ekoran sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19.

Presidennnya Soh Thian Lai berkata kekurangan pekerja akan melambatkan proses pemulihan ekonomi negara.

“FMM merayu kepada kerajaan untuk menimbang rayuan pengilang agar menarik balik pembekuan ke atas pekerja asing bagi mengisi kekurangan pekerja tidak mahir sebagai langkah jangka pendek. 

“FMM bimbang jika masalah kekurangan tenaga kerja kini tidak diatasi segera ia akan menyukarkan industri untuk pulih, termasuk menjejaskan keupayaan untuk memenuhi pesanan serta pelan pengembangan,” katanya dalam kenyataan.

Soh berkata hasil tinjauan FMM mengenai keperluan tenaga kerja ke atas 252 responden pada Oktober lalu mendapati sektor pembuatan mengalami kekurangan 22,000 pekerja.

“Angka yang tinggi ini membabitkan pekerja am rendah/tidak mahir iaitu hampir 14,000 orang, diikuti lebih 7,000 pekerja am mahir, juruteknik, jurumesin dam jurutera.”

Tinjauan itu juga mendapati subsektor pembuatan yang paling terjejas akibat kekurangan pekerja adalah industri elektik dan elektronik, makanan dan minuman, produk kimia, rekaan logam serta getah, tambah Soh.

Malaysia antara pengeluar terbesar semikonduktor dalam rantaian sektor eletrikal dan elektronik. Industri itu menyumbang 13% ujian dan pembungkusan pemasangan cip global, dan 7% daripada perdagangan semikonduktor dunia mengalir melalui Malaysia.

 Eksport elektrik dan elektronik bernilai AS$ 92 bilion (RM386 bilion) iaitu 39.4% daripada jumlah eksport Malaysia tahun lalu. – 4 Disember, 2021. 

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen