WHO belum terima laporan kematian berkait Omicron


Jurucakap WHO Christian Lindmeier berkata walaupun varian membimbangkan Omicron sedang menggegar dunia, namun ketika ini Delta masih varian yang dominan. – Gambar EPA, 3 Disember, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat berkata ia belum menerima sebarang laporan kematian berkait varian Omicron Covid-19 setakat ini.

WHO berkata ia sedang mengumpul bukti mengenai varian membimbangkan (VOC) itu, ketika kebanyakan negara berusaha mengelak penularannya.

Walaupun semakin banyak negara melaporkan jangkitan varian baharu tersebut, namun tiada kematian dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB.

“Saya belum lihat ada laporan kematian berkait dengan Omicron,” kata jurucakap WHO Christian Lindmeier kepada pemberita di Geneva.

“Kami sedang kumpul semua bukti dan kami akan jumpa lebih banyak bukti nanti.

“Lebih banyak negara… terus membuat ujian saringan, dan melihat secara khusus varian Omicron. Kami juga akan temui lebih banyak kes, lebih banyak maklumat, dan mungkin juga kematian.”

Walaupun Omicron sedang menggegar dunia, Lindmeier menggesa orang ramai berhati-hati dengan varian Delta, yang menyumbang 99.8 peratus jujukan yang dimuat naik ke inisiatif sains global GISAID dengan spesimen yang dikumpul dalam 60 hari yang lalu.

“Omicron mungkin semakin meningkat, dan kita mungkin sampai ke tahap ia jadi varian dominan, tetapi buat masa ini, varian yang sangat dominan kekal Delta,” tegasnya.

Lindmeier berkata, sekatan yang dilaksanakan di banyak negara hanya dua minggu lalu, dan dilakukan sebelum Omicron muncul kerana peningkatan kes Delta meningkat. Jangan kita terlepas pandang perkara ini.”

Jurucakap itu menggesa orang ramai untuk menggunakan langkah yang terbukti melindungi diri mereka daripada Delta - dan juga Omicron. – AFP, 3 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen