Bertukar baju hentikan budaya ‘beli-dan-buang’, selamatkan bumi


Aminah Farid

Program The Swap Project yang bermula sejak 2018 diwujudkan untuk mengelak pakaian yang masih elok berakhir di tempat pembuangan sampah dan merosakkan bumi, kata pengasasnya Jayda Chong. – Gambar ihsan The Swap Project, 12 Disember, 2021.

IA bermula dengan dua sahabat saling bertukar baju, kini menjadi The Swap Project, satu platform di mana orang ramai boleh bertukar pakaian mereka dengan orang lain.

Pengasasnya Jayda Chong memulakan idea itu pada 2018 sebagai cara untuk mengelak pakaian tidak dipakai berakhir di tempat pembuangan sampah.

Chong, 32, memberitahu The Malaysian Insight beliau mengasaskan The Swap Project selepas menyedari beliau mempunyai terlalu banyak baju, dan cara bertukar pakaian, bukannya membeli baju baharu, adalah cara lebih baik untuk menyelamatkan bumi.

Pakaian terutama fesyen semasa, jarang dibahaskan sebagai satu masalah alam sekitar, sedangkan ia antara penyumbang utama kepada masalah pelepasan karbon.

Menurut Program Alam Sekitar PBB, 20% daripada air kumbahan di dunia ini adalah hasil celupan tekstil. Industri pakaian menggunakan anggaran 93 bilion kubik meter air, kebanyakannya dicemari bahan kimia berbahaya daripada proses pencelupan.

Dan kerana kebanyakan pakaian dihasilkan di negara yang kurang undang-undang ketat, hasil air kumbahan akhirnya mencemari sungai dan laut.

Chong, yang mengakui dirinya seorang yang sangat gemar membeli baju sebelum ini, berkata mewujudkan The Swap Project membantunya menyedari kerosakan kepada dunia akibat fesyen semasa dan kepentingan kehidupan yang mampan.

“Saya dulu memang suka beli baju, terlalu banyak dan saya boleh beli baju yang sama tetapi berlainan warna,” katanya yang juga bekerja dalam bidang pemasaran untuk industri jualan.

“Ketika memulakan projek ini, saya jadi takut melihat betapa banyaknya baju yang kami ada. Kemudian saya perlahan-lahan mula mengurangkan beli baju, dan minat serta kepercayaan saya terhadap fesyen yang mampan semakin bercambah.

“Idea ini tercetus apabila seorang rakan ajak saya ke rumah untuk ambil baju, kerana salah seorang rakannya memberinya beberapa beg yang penuh baju.

“Kami kemudian mulakan projek ini menerusi media sosial dan merancang untuk mengadakan program tukar baju,” kata Chong.

Chong memulakan The Swap Project dengan menganjurkan beberapa program di Lembah Klang. Beliau turut membuka kiosk di pusat beli-belah Sunway Velocity.

Katanya, pada awalnya memang agak sukar apabila tiada siapa yang datang pada program pertama, tetapi orang mulai ramai apabila projek itu diketahui ramai.

“Masa mula dulu, kami biasanya adakan program di kafe. Kami akan pergi ke beberapa lokasi berbeza,” katanya.

Untuk bertukar pakaian, anda boleh menukar baju, seluar, skirt, blaus, gaun, beg, kasut, aksesori atau pakaian lelaki, tetapi semuanya perlu dalam keadaan yang baik dan bersih.

Mereka yang berminat boleh mendaftar dengan membayar yuran RM30. Pada hari program, peserta perlu bawa lima barang dan boleh membawa pulang maksimum 15 barang.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh lawati laman Facebook The Swap Project. – 12 Disember, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen