WALAUPUN Afkrika Selantan menyaksikan kemunculan pesat kes varian Omicron, tidak ramai pesakit dimasukkan ke hospital, kata pakar pada Khamis dengan kebanyakannya melaporkan gejala ringan.
Negara itu merekodkan 11,535 kes baharu pada Khamis, kebanyakannya di pusat wabak Gauteng, wilayah yang menempatkan bandar terbesar Johannesburg dan bandar Pretoria.
Kes dilaporkan lima kali ganda lebih tinggi dalam tempoh hanya dalam seminggu lalu, apabila saintis Afrika Selatan memaklumkan dunia tentang varian baharu itu.
Tiga perempat daripada kes baharu di Afrika Selatan kini melibatkan varian Omicron.
Bagaimanapun, kadar kematian dan kemasukan ke hospital setakat ini meningkat pada kadar lebih rendah.
Pakar memberi amaran masih banyak yang perlu diketahui, tetapi vaksin mampu mencegah lebih banyak kes penyakit yang teruk.
“Terdapat peningkatan dalam kemasukan ke hospital akibat Covid-19, tetapi tidak seperti yang kita lihat ketika wabak sebelumnya,” kata Mary Kawonga, seorang doktor yang mengetuai majlis penasihat wilayah Covid-19.
“Kadar kemasukan ke hospital meningkat dengan kadar jauh lebih rendah berbanding apa yang kita lihat dalam gelombang ketiga,” katanya pada sidang akhbar.
Ini kerana kebanyakan yang dijangkiti adalah golongan muda dan secara amnya menunjukkan gejala lebih ringan.
Walaupun hanya kira-kira satu daripada empat orang Afrika Selatan yang diberi vaksin lengkap, kadarnya lebih tinggi di kalangan warga tua yang kebanyakannya terdedah kepada penyakit serius jika dijangkiti.
“Kami percaya jumlah kes akan meningkat secara eksponen di semua wilayah negara,” kata Anne von Gottberg, pakar di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan.
“Kami percaya vaksin masih akan melindungi daripada penyakit yang teruk,” tambahnya.
Tetapi setakat ini, banyak kes hanya mengalami sakit kepala atau hidung berair – dan kadangkala tiada langsung. – AFP, 3 Disember, 2021.
Komen