Pelancong dari 20 negara, wilayah dilarang masuk Langkawi, kata KP kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelancong dari lebih 20 negara dan wilayah yang dianggap berisiko tinggi penyebaran varian Omicron dilarang memasuki Langkawi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2021.

PELANCONG dari lebih 20 negara dan wilayah yang dianggap berisiko tinggi penyebaran varian Omicron tidak akan dibenarkan memasuki Langkawi di bawah inisiatif gelembung perjalanan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain pelancong, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara dan wilayah sepanjang 14 hari lalu tidak akan dibenarkan memasuki Langkawi.

“Sementara itu penduduk Langkawi (warganegara dan pemegang pas jangka panjang) dari negara yang disenaraikan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari lepas hanya boleh masuk ke negara ini melalui KLIA dan akan dikehendaki menjalani kuarantin mandatori 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan. Penerbangan terus ke Langkawi tidak dibenarkan,” katanya.

Senarai itu termasuk United Kingdom, Belanda, Australia, Kanada, Korea Selatan, Hong Kong, Israel, Itali, Jerman, Denmark, Sweden, Nigeria, Belgium, Jepun, Brazil, Norway, Republik Czech, Perancis, Pulau Reunion, Austria, Sepanyol, Arab Saudi, Ghana, Ireland, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat (California). 

Kerajaan sudah pun melarang sementara penerbangan terus dan transit ke dan dari tujuh negara Afrika di mana varian yang perlu diperhatikan dikesan. Tujuh negara berkenaan ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

“Berikutan berita terkini penemuan varian Omicron (B.1.1.259), KKM memantau (keadan) dan menjalankan analisis risiko untuk menentukan negara berisiko tinggi pernah berlaku wabak VOC,” katanya.

Memberi maklumat terkini mengenai varian itu Dr Noor Hisham berkata terdapat 515 kes baharu membabitkan varian ditemui antara 25 November dan hari ini.

Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-Unimas) menemui 415 kes Delta manakala Institu Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI-UKM) menemui 46 kes serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGI) mengesan 44 kes.

Pusat Penyelidikan & Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) sebaliknya menemui 10 kes Delta.

Setakat ini 4,432 kes Delta ditemui di Malaysia, 226 varian Beta dan 14 varian Alpha yang menjadikan jumlah kumulatif kes VOC sebanyak 4,672.

Terdapat juga 20 kes Varian Membimbangkan yang terdiri daripada 13 kes varian Theta dan empat varian Kappa. – 2 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen