PARLIMEN menafikan permohonan pembangkang untuk membahaskan isu kenaikan harga di dalam dewan utama dewan itu.
Sebaliknya, isu itu yang kini menjadi topik hangat di negara ini akan diserahkan kepada persidangan kamar khas.
Kamar khas itu, yang diwujudkan semasa reformasi Parlimen enam tahun lalu, bertujuan memastikan Putrajaya akan membahaskan dan menjawab semua usul tergempar yang difailkan ahli Parlimen tanpa mengganggu prosiding di dewan utama.
“Perbahasan boleh diadakan di kamar khas pada 2.30 petang hari ini,” kata Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon di Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab pagi ini.
Beliau menjawab usul Salahuddin Ayub (Pulai-PH) untuk membahaskan isu itu di Parlimen.
Keputusan ahli Parlimen Batu Pahat itu tidak diterima oleh ahli Parlimen pembangkang, yang mahu perbahasan diadakan di dewan utama.
“Jika perbahasan diadakan di kamar khas, satu-satunya kementerian yang akan hadir ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.
“Oleh itu, kita mungkin akan mendapat jawapan yang sama seperti yang diberikan oleh menteri Alexander Nanta Linggi (Kapit-GPS) kepada Parlimen pada Selasa. Apa gunanya?”
Nanta mengesahkan akan memberikan respons yang sama jika isu itu dibahaskan dalam kamar khas.
Anwar berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak seharusnya menjadi satu-satunya kementerian yang mengendalikan isu kenaikan harga, kerana tiga kementerian lain juga perlu terlibat.
“Jika isu ini dibahaskan di sini… kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga boleh mengambil bahagian.”
Kenaikan harga makanan yang mendadak menjadikan ia satu isu penting untuk dibahaskan secara terbuka di Parlimen, tambahnya.
Bagaimanapun, Rashid tetap dengan pendiriannya dan enggan membenarkan isu itu dibahaskan di dewan utama. – 2 Disember, 2021.
Komen