LARANGAN perjalanan ke atas negara dan wilayah tertentu susulan kemunculan varian Omicron tidak adil, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Langkah itu juga tidak berkesan membendung penularan varian baharu Covid-19 itu, kata kata setiausaha agungnya Antonio Guterres.
“Dengan virus yang benar-benar tanpa sempadan, sekatan perjalanan mengasingkan mana-mana negara atau wilayah bukan sahaja sangat tidak adil dan bersifat menghukum, malah tidak berkesan,” kata Guterres pada sidang media semalam.
Beliau sebaliknya menggesa negara di seluruh dunia meningkatkan saringan ke atas pengembara.
Puluhan negara menyekat perjalanan pengembara dari negara-negara selatan Afrika selepas varian Omicron pertama kali dilaporkan di rantau itu minggu lalu.
Guterres berkata, negara-negara yang melaporkan kemunculan varian baharu Covid-19 tidak patut dihukum secara kolektif kerana mengenal pasti serta berkongsi maklumat sains dan kesihatan yang penting kepada dunia.
Beliau seterusnya menegaskan apa yang setiap negara lakukan adalah meningkatkan ujian saringan ke atas pengembara, disertai langkah lain yang sesuai dan benar-benar berkesan.
“Ini satu-satunya cara untuk mengurangkan risiko penularan sambil membenarkan perjalanan dan pembabitan ekonomi,” kata Guterres.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran risiko penyebaran Omicron di seluruh dunia sangat tinggi.
Sekatan perjalanan ke atas pengembara dari benua Afrika turut dikecam pengarah WHO untuk Afrika, menyifatkannya sebagai serangan ke atas solidariti global.
Piha berkuasa Afrika Selatan berkata mereka dihukum kerana mengenal pasti strain yang kini telah dikesan di banyak negara, manakala Presiden Malawi Lazarus Chakwera mendakwa negara-negara Barat sebagai “Afrophobia.” – AFP, 2 Disember, 2021.
Komen