Bekas presiden Argentina didakwa arah intipan haram


Mauricio Macri, 62, dituduh mengarahkan intipan secara haram semasa memegang jawatan presiden Argentina. – Gambar EPA, 2 Disember, 2021.

BEKAS presiden Argentina Mauricio Macri semalam didakwa di mahkamah atas tuduhan mengintip ahli keluarga 44 anak kapal yang terbunuh dalam tragedi kapal selam karam pada 2017.

Macri, 62, dituduh mengarahkan intipan secara haram semasa memegang jawatan presiden. Beliau juga didakwa mengarahkan data individu yang diintip itu dikumpul, disimpan dan digunakan.

Macri, pesiden dari 2015 hingga 2019, berisiko dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun jika disabitkan bersalah atas dakwaan melanggar undang-undang perisikan Argentina.

Dalam satu kenyataan bertulis kepada mahkamah, Macri menegaskan beliau tidak mengarahkan sesiapa dalam kerajaan untuk mengintip.

Kapal selam ARA San Juan hilang pada November 2017. Bangkai kapal selam itu ditemui semula setahun kemudian, terdampar di dasar laut pada kedalaman 900 meter di Lautan Atlantik, kira-kira 400km dari pantai Argentina.

Kapal selam itu disyaki meletup selepas mengalami masalah teknikal. Pihak berkuasa Argentina memutuskan bangkai kapal selam berkenaan ditinggalkan di dasar laut.

Ahli keluarga 44 anak kapal ARA San Juan memberitahu penyiasat bahawa mereka diekori dan diintip, dirakam dan diugut supaya membatalkan sebarang tuntutan berkaitan tragedi itu.

Hakim membenarkan Macri diikat jamin sebanyak 100 juta pesos (kira-kira AS$990,000) dan tidak dibenarkan ke luar negara. – AFP, 2 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen