SERAMAI 65 pelajar sekolah yang didapati positif Covid-19 di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya didapati dijangkiti oleh guru, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Guru berkenaan kemudian didapati menjangkiti seorang lagi rakan sekerja dan enam pelajar, dan saringan lanjut selepas tempoh kuarantin mendapati 65 pelajar positif, katanya.
“Asalnya seorang guru yang dijangkiti Covid-19 dan saringan kontak rapat mendapati terdapat seorang lagi guru didapati positif dan enam orang murid didapati positif.
“Muring yang enam orang didapati positif ini berada di bawah pemantauan pihak sekolah dan apabila dilaksanakan saringan kontak rapat ke atas murid ini didapat 121 kontak rapat.
“(Pelajar seramai) 121 orang ini dipotong gelangnya dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan melalui rakaman video disiarkan di platform media sosialnya.
Seterusnya, saringan kontak rapat dijalankan ke atas lebih 200 orang pelajar yang kemudian mendapati terdapat 65 kes positif, katanya.
“65 orang ini telah dibawa ke (Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah) Maeps untuk pemantauan,” katanya lagi.
Menurutnya, ia melibatkan penuntut Tingkatan Satu dan Dua.
“Ini merupakan kali pertama SBP kena kes sebanyak ini. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya lagi dalam satu kenyataan berkaitan.
Pada 9 Oktober lalu, kementeriannya mengumumkan akan menutup sekolah dengan kes positif Covid-19 selama tujuh hari tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan.
Institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka mula beroperasi pada 31 Oktober selepas peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. – 2 Disember, 2021.
Komen