BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak menghadiri mesyuarat antara pemimpin Malaysia dan Singapura berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.
“Mesyuarat HSR dihadiri oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan saya,” kata Wee di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata ketika itu terdapat perbincangan peribadi mengenai projek HSR antara Ismail Sabri dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sahaja.
Menteri itu menjawab pertanyaan RSN Rayer (Jelutong-PH) yang bertanya sama ada Najib turut menghadiri mesyuarat itu di Singapura berikutan spekulasi bahawa beliau ada.
Spekulasi itu susulan gambar tular yang menunjukkan Najib berada dalam pertemuan yang didakwa di Singapura baru-baru ini.
Najib, walaupun disabitkan kesalahan rasuah membabitkan dana SRC International, kekal sebagai tokoh politik popular dan masih berpengaruh dalam Umno. Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember.
Wee, yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam memberikan jawapan balas kepada Kementerian Pengangkutan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (peringkat jawatankuasa) di Parlimen hari ini.
Beliau berkata Singapura terbuka untuk menyambung semula perbincangan dengan Malaysia mengenai projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan negara bandar itu.
Wee berkata Ismail Sabri akan memberi taklimat kepada Kabinet mengenai perkara itu pada mesyuarat mingguannya Jumaat ini.
“Kita tidak menetapkan sebarang rangka masa untuk perbincangan HSR. Hanya ada satu kenyataan rasmi daripada kedua-dua perdana menteri,” katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan bersama Ismail Sabri dan Lee baru-baru ini bahawa kedua-dua negara bersedia meninjau semula projek yang ditamatkan awal tahun ini oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah Muhyiddin Yassin.
Penamatan itu menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya di bawah perjanjian dua hala.
Sementara itu Parlimen meluluskan belanjawan tahun depan untuk Kementerian Pengangkutan (RM5.58 bilion) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM907 juta). – 1 Disember, 2021.
Komen