MALAYSIA tidak mampu untuk meletakkan wang tempahan bagi mendapatkan vaksin Covid-19 tanpa maklumat klinikal awal kerana kekangan kewangan, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Dalam laporannya mengenai perolehan vaksin Covid-19 kerajaan yang dikeluarkan di Parlimen hari ini Pac berkata ini adalah antara punca utama Malaysia tidak dapat memperoleh vaksin Covid-19 lebih awal.
“Proses perolehan vaksin bertambah proaktif dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada bulan Oktober 2020,” kata PAC dalam satu kenyataan hari ini.
PAC menambah kelewatan oleh pengeluar juga menyumbang kepada faktor kelewatan.
Walaupun berlaku kelewatan PAC berkata pihaknya berpuas hati dengan penyelarasan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses perolehan.
Jawatankuasa itu berkata penggunaan wang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi tujuan perolehan vaksin adalah selaras dengan objektif penubuhan KWAN tertakluk kepada perbelanjaan yang berhemah.
PAC mendapati harga premium (peningkatan antara 16.78% - 18.12%) perlu dibayar oleh kerajaan dalam pembelian sebahagian Vaksin Sinovac – Finished Product, antaranya akibat kelewatan Pharmaniaga dalam penghantaran pada bulan April, Mei dan Jun 2021 dan juga atas keperluan
mendesak dalam tempoh tersebut.
“PAC berpendapat kerajaan harus berpegang kepada harga yang sama seperti yang termaktub dalam perjanjian awal,” katanya.
PAC berkata kerajaan mesti memastikan semua kementerian yang bertanggungjawab dalam memerangi Covid-19 mengikut prosedur dalam proses perolehannya.
“Kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif dalam memuktamadkan pembelian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak (5-11 tahun) termasuk meletakkan wang tempahan (strategic bet) sekiranya perlu, untuk menjamin penghantaran vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak tidak akan terlewat;
“Kerajaan perlu menetapkan harga siling Sinovac yang dijual dalam Private Vaccine Market dengan segera dan memastikan harga siling tersebut tidak memberikan keuntungan melampau kepada pembekal
“Kerajaan tidak harus membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya adalah bersifat CSR,” katanya. – 1 Disember, 2021.
Komen