Pengembara Singapura perlu jalani dua kali ujian kendiri selepas masuki Malaysia


Elill Easwaran

Buat masa ini Malaysia hanya mempunyai pengaturan VTL melalui darat dan udara dengan Singapura.– Gambar EPA, 1 Disember, 2021.

PENGEMBARA yang memasuki Malaysia dari Singapura melalui pengaturan laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dua hala perlu melakukan ujian kendiri Covid-19 tambahan pada hari ke-3 dan ke-7 selepas memasuki negara itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Mereka juga mesti melaporkan keputusan ujian mereka pada aplikasi MySejahtera.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga terhadap varian Omicron yang baru dikesan, katanya pada sidang media di Putrajaya.

Keperluan untuk ujian kendiri pada hari 3 dan 7 terpakai kepada pengembara VTL sama ada melalui darat atau udara, tambahnya.

Pada masa ini, Malaysia hanya mempunyai pengaturan VTL melalui darat dan udara dengan Singapura.

Khairy berkata berikutan kemunculan Omicron, Malaysia menangguhkan pengaturan VTL yang pada asalnya turut dirancang dengan negara lain.

“Penangguhan ini adalah sehingga gambaran yang lebih jelas diperoleh tentang penyebaran varian Omicron di seluruh dunia.”

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk terus berhati-hati dan mematuhi SOP bagi membendung dan mencegah penularan wabak Covid-19.

Varian Omicron dikatakan mempunyai sehingga 50 mutasi, varian coronavirus telah mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia bahawa ia mungkin lebih mudah menular daripada varian Delta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa varian itu boleh menimbulkan risiko yang sangat tinggi.

Semalam kerajaan menangguhkan peralihan negara kepada fasa endemik Covid-19 kerana varian Omicron.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata buat masa ini, Putrajaya telah memutuskan untuk menghentikan sementara usaha untuk peralihan ke fasa “peralihan endemik” sehingga lebih banyak mengetahui tentang Omicron.

Varian itu dianggap mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen