Sistem autogate di pintu masuk Malaysia ditutup sementara waktu, kata Khairy


Elill Easwaran

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sistem Autogate akan ditutup sementara waktu di pintu masuk antarabangsa bagi membolehkan pegawai menyoal sejarah perjalanan pelancong yang masuk ke negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.

SISTEM autogate Jabatan Imigresen Malaysia akan ditutup sementara di pintu masuk antarabangsa bagi membolehkan pegawai menyoal sejarah perjalanan pelancong yang masuk susulan varian Omicron Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ini berkuat kuasa serta-merta, kata Khairy pada sidang media di Putrajaya hari ini.

“Jabatan Imigresen perlu menyoal mereka yang memasuki negara ini sama ada mereka pernah melawat negara berisiko tinggi,” katanya.

Sistem autogate digunakan untuk membaca maklumat biometrik dalam pasport Malaysia dan mengesahkan identiti pemegang.

Pelancong yang memasuki Malaysia dari negara yang melaporkan kes varian Omicron dan mereka yang dianggap berisiko tinggi hanya dibenarkan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), katanya.

Pengembara ini mesti melalui pintu pagar khas yang akan dibuka oleh pihak berkuasa lapangan terbang. 

Untuk memudahkannya syarikat penerbangan juga memainkan peranan dengan mengenal pasti pelancong dari negara yang melaporkan kes Omicron dan negara yang berisiko tinggi untuk penularan varian itu, tambah Khairy.

“Maklumat pelancong dari negara-negara ini mesti dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA bagi memudahkan pengendalian ketibaan mereka.

“Laluan khas akan disediakan untuk mereka yang tiba dari negara berisiko tinggi untuk proses pemeriksaan kesihatan dan penyelarasan pusat kuarantin khas,” katanya.

Setakat semalam 20 negara melaporkan jangkitan melibatkan varian Omicron, tambah Khairy.

Walaupun lebih banyak masa diperlukan untuk memahami virus dan tahap keterukan jangkitannya pihak berkuasa kesihatan global mencatatkan bilangan mutasi yang tinggi dalam varian ini yang menjadikannya lebih mudah berjangkit berbanding strain sebelumnya. – 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen