MAJORITI pengundi Melaka kagum dengan prestasi Adly Zahari dari Pakatan Harapan sebagai ketua menteri, tetapi ini tidak cukup untuk membantu PH memenangi pilihan raya negeri baru-baru ini, menurut tinjauan Ilham Centre.
Pengundi memilih berdasarkan parti politik berbanding calon individu, kata ketua penyelidik Ilham Center Prof Dr Yusri Ibrahim menerusi dapatan yang dikongsi bersama The Malaysian Insight.
Prestasi Adly, dari Amanah dan menjadi ketua menteri selepas PH memenangi negeri itu pada pilihan raya umum 2018, jauh lebih tinggi daripada Sulaiman Md Ali dari Umno, yang menggantikannya selepas kerajaan negeri PH tumbang berikutan Langkah Sheraton tahun lepas.
Adly juga adalah ketua menteri lebih popular daripada Idris Haron, yang memegang jawatan ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu.
“Pengundi akhirnya memutuskan untuk memilih BN kerana naratif yang digunakan oleh Umno semasa kempen mampu mempengaruhi pengundi Melayu di bandar dan luar bandar.”
“Naratif mereka yang menggunakan kestabilan politik sebagai alasan mengapa pengundi harus memilih Umno-BN juga menjadi sebab kegagalan PH.
“Walaupun pada pilihan raya umum 2018, pengundi di Melaka dilihat memilih berdasarkan personaliti, namun dalam pilihan raya negeri ramai yang memilih berdasarkan parti politik,” kata Yusri.
Dalam tinjauan Ilham Centre, PH menerima penarafan 51% sebagai kerajaan negeri. Perikatan Nasional menerima 19% dan BN di bawah Idris menerima 13%.
“Itu adalah jurang yang besar. Tetapi walaupun pengundi gembira dengan pentadbiran Adly, mereka tetap memilih BN berbanding PH,” kata Yusri.
Mengenai prestasi Adly, Adun Bukit Katil itu menerima penilaian 56%. Sulaiman hanya menerima 26%.
“51% pengundi tidak merasakan Sulaiman seorang ketua menteri yang baik; begitulah pandangan rakyat Melaka terhadap Adly,” kata Yusri.
Ilham Centre menemubual 1,051 responden dari semua kaum berumur 21 hingga 60 tahun.
Tinjauan itu dijalankan dari 23 Oktober hingga 15 November.
Dalam pilihan raya Melaka 20 November lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dan memperoleh 38% undi popular.
PH hanya memenangi lima kerusi, dengan PKR kalah kesemua 11 kerusi yang ditandinginya manakala DAP memenangi empat dan Amanah menang satu. PN memenangi dua kerusi.
Kerajaan Melaka pimpinan Sulaiman tumbang pada Oktober lalu selepas empat wakil rakyat menarik sokongan mereka kepada kerajaan negeri BN-PN.
Idris merupakan salah seorang daripada empat Adun berkenaan, dan diterima PKR untuk bertanding atas tiket PH tetapi kalah. – 1 Disember, 2021.
Komen