Apa yang kita tahu mengenai Omicron setakat ini


Ragananthini Vethasalam

Varian Omicron mencetuskan ketakutan di seluruh dunia kerana berkemungkinan lebih mudah berjangkit berbanding Delta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.

VARIAN Omicron, yang menjadi tajuk utama global sejak beberapa hari lalu, masih belum dikesan di Malaysia.

Ia dikatakan mempunyai sehingga 50 mutasi, varian koronavirus ini mencetuskan ketakutan di seluruh dunia yang ia mungkin lebih mudah ditularkan berbanding Delta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran ia boleh menimbulkan risiko yang sangat tinggi.

Putrajaya semalam menangguhkan peralihan negara kepada fasa endemik Covid-19 kerana varian Omicron.

Menteri Pertahanan Kanan Hishammuddin Hussein berkata buat masa ini, Putrajaya memutuskan untuk menangguhkan sementara usaha bergerak ke fasa “peralihan endemik” sehingga lebih banyak diketahui mengenai Omicron.

Varian itu dianggap “mungkin lebih mudah berjangkit” berbanding Delta, menurut WHO.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata varian itu menimbulkan risiko “sangat tinggi” di seluruh dunia tetapi juga berkata lebih banyak masa diperlukan untuk memahami varian itu, tahap “ganas” dan keterukan jangkitan.

Beliau menggesa orang ramai supaya mengamalkan langkah berjaga-jaga.

“Kami tahu Omicron mungkin lebih mudah berjangkit berbanding Delta tetapi kami belum mengetahui sejauh mana ‘ganasnya’.

“Apa yang boleh kita lakukan setakat ini adalah meningkatkan intervensi kesihatan awam (pemakaian pelitup muka, penjarakan, jaga kebersihan), menambah baik pengaliran udara, jaga kesihatan tubuh badan dan ambil dos penggalak vaksin apabila ditawarkan,” katanya di Twitter.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata varian Omicron menimbulkan risiko sangat tinggi dan gesa orang ramai mengamalkan langkah berjaga-jaga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.

Menurut WHO, varian B.1.1.529 pertama kali dilaporkan dari Afrika Selatan pada 24 November. Varian itu diklasifikasikan sebagai varian membimbangkan (VOC).

“Situasi epidemiologi di Afrika Selatan dicirikan oleh tiga kemuncak berbeza dalam kes dilaporkan, yang terbaru kebanyakannya adalah varian Delta.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, jangkitan meningkat dengan mendadak, bertepatan dengan pengesanan varian B.1.1.529,” kata WHO dalam satu kenyataan pada 26 November.

“Jangkitan B.1.1.529 pertama kali diketahui adalah daripada spesimen yang dikumpul pada 9 November.

“Varian ini mempunyai sejumlah besar mutasi, beberapa daripadanya membimbangkan. Bukti awal menunjukkan peningkatan risiko jangkitan semula dengan varian ini berbanding VOC lain,” tambahnya.

WHO menambah bilangan kes daripada varian ini nampaknya meningkat di hampir semua wilayah di Afrika Selatan.

Dalam satu kenyataan pada 28 November, WHO berkata kajian epidemiologi mengenai varian itu sedang dijalankan.

Ia berkata masih belum jelas sama ada Omicron lebih mudah ditularkan berbanding varian lain, termasuk Delta atau sama ada jangkitan itu menyebabkan kesan yang teruk.

“Bukti awal menunjukkan mungkin terdapat peningkatan risiko jangkitan semula dengan Omicron (individu pernah dijangkiti Covid-19 boleh dijangkiti semula dengan lebih mudah dengan Omicron), berbanding varian membimbangkan lain tetapi maklumat masih terhad,” katanya.

Para saintis dan pembuat vaksin juga berlumba-lumba untuk memastikan sama ada vaksin yang ada berkesan terhadap varian tersebut.

BioNTech SE, yang merupakan rakan kongsi Pfizer Inc, berkata ia sudah mula menjalankan kajian vaksin untuk varian itu.

Syarikat membangunkan vaksin mungkin melancarkan versi terkini vaksinnya yang disesuaikan untuk Omicron dalam masa 100 hari, jika varian itu tidak berkesan dengan vaksin yang ada.

Ketua Pfizer Albert Bourla berkata vaksin sedia ada mungkin “kurang melindungi”, dan itu bermakna vaksin baharu perlu dibuat.

Sinovac juga memantau dengan teliti kajian dan mengumpul sampel untuk menentukan sama ada vaksin baharu diperlukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Moderna Stephane Bancel memberitahu Financial Times jumlah mutasi yang tinggi pada Omicron dan penyebaran pantasnya di Afrika Selatan menandakan vaksin sedia ada perlu diubah suai.

“Tidak ada dunia, saya fikir, di mana (keberkesanan) berada pada tahap yang sama… dengan Delta,” katanya.

Negara termasuk Malaysia bergegas mempertingkatkan sekatan perjalanan bagi membendung penularan varian itu.

Varian itu dikesan di Australia, Austria, Belgium, Botswana, Kanada, Republik Czech, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda, Portugal, Afrika Selatan, Sepanyol dan United Kingdom.

Malaysia menyekat kemasukan pelancong dari tujuh negara Afrika iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Rakyat Malaysia, pemastautin tetap dan pemegang pas jangka panjang akan dibenarkan pulang dan masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, mereka dikehendaki menjalani kuarantin mandatori 14 hari tanpa mengira status vaksinasi masing-masing. – 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen