Malaysia tak benarkan kemasukan pekerja asing kerana kemelesetan, Covid-19, kata menteri


Chan Kok Leong

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata kerajaan mahu mengutamakan buruh Malaysia terlebih dahulu bagi mengurangkan pengangguran dan keluar dari kelemesetan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2021.

KERAJAAN mengakui kekurangan buruh semasa tetapi tidak boleh membawa masuk lebih banyak buruh asing berikutan kemelesetan dan situasi Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Kerajaan juga mahu mengutamakan buruh Malaysia terlebih dahulu bagi mengurangkan pengangguran dan keluar dari kelemesetan.

“Walaupun benar kita mempunyai kekurangan tenaga kerja yang besar, kita tidak dapat membawa masuk lebih banyak kerana ia tidak akan menyelesaikan isu pengangguran kita,” kata ahli Parlimen Tapah itu kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Kami juga sudah meminta majikan untuk mengambil rakyat Malaysia terlebih dahulu,” kata Saravanan semasa ucapan penggulungan kementerian berkenaan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (peringkat jawatankuasa).

Menteri itu berkata Malaysia juga tidak boleh membenarkan lebih ramai pekerja asing memasuki negara ini berikutan jumlah kes Covid-19 dan kadar vaksinasi lebih rendah di negara sumber.

Beliau berkata negara seperti India dan Bangladesh yang merupakan dua negara sumber tenaga kerja asing berada pada tahap vaksinasi Covid-19 yang berbeza.

“Sempadan masih ditutup kerana mungkin terdapat satu lagi lonjakan Covid-19,” kata menteri itu.

Beliau berkata kerajaan akan memantau kumpulan pertama 32,000 pekerja asing yang dibenarkan datang ke Malaysia.

“Kita akan lihat sama ada mereka boleh mematuhi SOP,” kata Saravanan.

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan bajet untuk Kementerian Sumber Manusia (RM1.29 bilion) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (RM550 juta). – 30 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen